Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham menafikan dakwaan sesetengah pihak mengenai kemunculan varian Lambda di negara ini.

Menurut Noor Hisham perkara itu disahkan menerusi pemeriksaan terkini dilakukan pihak kementerian.

“Tidak benar dan jujukan genomik terkini menunjukkan semua 43 sampel adalah varian Delta sebagai VOC yang dominan.

“Setakat ini tiada varian Lambda telah dikesan di negara kita,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada pengguna Twitter mengenai khabar angin mengatakan varian terbaru itu telah sampai ke Malaysia.

Terdahulu, Noor Hisham mahu kawalan sempadan negara dilakukan secara ketat termasuk dengan melaksanakan penilaian risiko terhadap individu yang pulang dari luar negara bagi membendung kemasukan varian Lambda.

Beliau berkata, setakat ini, varian itu belum dikesan dan KKM akan mempertingkatkan lagi keupayaan dengan menjalankan jujukan genomik penuh bagi mengesan sebarang varian yang membimbangkan (VOC).

Sekadar info, varian Lambda pertama kali dikesan di Peru sudah merebak ke 26 buah negara termasuk wabak besar di Chile, Peru, Argentina dan Ecuador.

Lambda dilabel sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).