Selepas 13 tahun menyepi Voices of Euphonious (VE) kembali dengan single terbaharu berjudul Tunggu.

Ketua Kumpulan VE, Zaf berkata, Tunggu adalah simbolik penantian kumpulan itu yang mengampil tempoh lebih sedekad untuk membuat kemunculan semula.

“Lagu Tunggu adalah kisah di antara anak dan ibu. Di mana kami ingin mengingatkan peminat supaya menghargai setiap detik bersama orang yang kita sayangi.

“Lagu ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan. Bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran klip video.

“Alhamdulillan proses menyiapkan lagu sangat laju dan lancar. Tetapi kami mengambil masa sedikit lama untuk latihan memandangkan ini lagu pertama VE dengan barisan anggota yang baru.

“Jadi kami perlu mengenali keupayaan dan keserasian masing-masing. Bagaimanapun muzik video lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu hari saja dengan pertolongan Team Osh, “ kata Zaf.

Dalam pada itu Zaf berkata selain dia dan Cham, kepulangan VE ke pentas seni kini sebagai VE2021 bersama dua anggota baru, Adeep Nahar dan Luqman Hakim.

“Sudah lama kami merancang untuk kembali bergiat aktif, namun ekoran komitmen setiap anggota ditambah dengan penularan wabak COVID-19, hasrat itu tergendala.

“Kami sudah lama rindu untuk menyanyi lagi. Niat untuk masuk semula ke dalam industri memang sudah lama dirancang, tetapi disebabkan kesibukkan anggotai VE dengan pelbagai komitmen, hasrat itu beberapa kali tertangguh.

“Kami yakin kehadiran Adeep dan Luqman dapat menyatukan suara kami walaupun jauh berbeza daripada VE yang dulu. Namun kami berharap, peminat setia VE dapat menerima barisan baru kami,” katanya.

Tunggu dihasilkan oleh Zaf, Mulah, Dj Uno dan Aj PopShuvit sementara liriknya dihasilkan Mulah, Zaf dan Cham.

Kali terakhir kumpulan itu menerbitkan lagu ialah pada 2006 menerusi Ikhlas Tapi Jauh.

Tunggu boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer, KKBOX dan YouTube Music.

Manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.