Filem Tamil terbitan Veedu Production dengan kerjasama Astro Vaanavil, Vedigundu Pasangge meraih penghargaan Anugerah Pencapaian Seni dan Hiburan yang Memberangsangkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Perkara itu disahkan sendiri oleh pelakon dan penerbit filem, Denes Kumar.

"Pihak kami tidak menyangka sambutan luar biasa sehingga mampu mencatat kutipan setinggi itu dalam tempoh tayangan terutamanya apabila mendapat saingan daripada filem Tamil dari luar negara.

“Memang doa dan harapan kami sememangnya filem ini mencapai status ‘hit’ tetapi buat pertama kali dalam sejarah, kami mengutip lebih RM1 juta dalam tempoh dua minggu tayangan adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records untuk Vedigundu Passangge yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini merupakan batu loncatan kepada kami, kami tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa sokongan rakyat Malaysia,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Setakat lapan minggu tayangan di seluruh negara, filem itu telah berjaya mengutip RM1.33 juta sekaligus dinobatkan filem Tamil tempatan yang pertama dalam sejarah dengan kutipan sedemikian.

Vedigundu Pasangge merupakan sekuel dua filem sebelumnya iaitu Vilaiyaatu Pasangge yang ditayangkan pada 2011 dan Vetti Pasanga yang menemui penonton pada 2014.

Filem tersebut menjadi filem Tamil keluaran Malaysia yang pertama meraih kutipan melepasi RM1 juta mengatasi filem Maindhan yang mengutip RM903,000.

Diarahkan oleh sutradara wanita, Dr. Vimala Perumal, Vedigundu Passangge dibintangi oleh Sangeetha Krishnasamy, Denes Kumar, Magendran Raman, Thangamani, David Anthony, Seelan Manoheran, Prakash Krishna dan ramai lagi.

Filem tersebut mula ditayangkan di pawagam mulai 26 Julai lalu di 55 pawangan seluruh negara.