HIBURAN
Verrell Bramasta Dicium & Dicakar Peminat Di Singapura, Terpaksa Sembunyi Dalam Tandas
Aktor dan juga ahli politik Indonesia, Verrell Bramasta mencuri tumpuan ramai apabila berkunjung ke Singapura baru-baru ini.
Dicium & Dicakar Peminat
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram, Verrell yang berniat mahu mencari makanan di kota Singa itu bertukar kecoh apabila kelihatan dikerumuni oleh para peminatnya, yang kebanyakannya wanita.
Dalam video panjang itu, pada mulanya, Verrell cuba melayan permintaan beberapa orang untuk bergambar, namun perkara itu menarik perhatian lebih ramai orang yang ingin mendekatinya.
Tanpa disangka, kehadiran Verrell di salah satu jalan di Singapura itu semakin menarik perhatian orang ramai dan menyebabkan kerumunan yang besar.
Selain diminta bergambar, Verrell turut mengalami kejadian tidak disangka apabila seorang peminat yang tidak dikenali mencium pipinya.
Malah, beliau mendedahkan bahawa terdapat beberapa orang yang berebut-rebut untuk mendekatinya dan ada yang sempat mencakar tangan dan mukanya dalam kekecohan tersebut.
Sembunyi Dalam Tandas
Bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini, Verrell mendedahkan bahawa dia terpaksa mencari tempat untuk bersembunyi di dalam tandas.
Pelakon sinetron Putri untuk Pangeran itu berasa bersyukur kerana mendapat bantuan daripada beberapa anggota polis yang membantunya melarikan diri daripada dikejar para peminat.
Dalam masa sama, Verrell turut berkongsi bahawa kunjungannya ke Singapura itu dilakukan tanpa sebarang pengawal peribadi. Sebaliknya dia hanya pergi bersama adiknya, Athalla Naufal.
#Indonesia
#peminat
#Singapura
#Ahli Politik
#Aktor
#Tandas
#Verrell Bramasta
#Sembunyi
#Dicium
#Dicakar