
Biarpun harganya mencecah
RM33,300 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ciri teknologi yang ada pada skuter itu adalah cukup menarik dan sangat sesuai dengan harganya itu.

Mana tidaknya, Vespa GTS 300 HPE Super Tech ini didatangkan dengan
panel instrumen TFT berwarna yang bersaiz 4.3 inci. Fungsinya cukup banyak dan banyak memberi kemudahan kepada penunggangnya.

Selain memberi informasi berhubung kelajuan, instrumen TFT itu menyalurkan maklumat lengkap skuter berkenaan berhubung jarak tunggangan yang ada pada tangki, suhu persekitaran dan banyak lagi.

Namun yang paling menarik adalah
sistem ketersambungan telefon pintar Vespa MIA. Sistem itu membolehkan penunggangnya mendapat notifikasi media sosial, menjawab telefon, mengawal muzik melalui telefon dan navigasi.

Dari segi prestasinya, enjin baharu
High Performance Engine (HPE) itu mampu meningkatkan kuasa dan pada masa sama mengurangkan tahap penggunaan minyak serta kurang bising. Enjin 300cc itu
menggunakan kepala silinder baharu, penambah baikan ciri termodinamik, kebuk pembakaran lebih cekap dan meluaskan diameter injap dan salurannya.

Justeru itu, outputnya meningkat 1.8hp dan tork tambahan sebanyak 4Nm untuk menjadikan kuasa maksimumnya mencecah
23.8hp dan tork setinggi
26Nm. Jadi ia boleh memecut
0-96km/j dalam 5.4 saat berbanding 5.7 saat bagi enjin 300cc generasi sebelumnya.

Untuk mengurangkan pengisian minyak yang kerap, kapasiti tangkinya ditambah 0.5 liter menjadikan ia kini mencecah
8.5 liter. Bagi satu isian penuh, ia boleh ditunggang melebih 200km.

Ciri keselamatannya pula, ia didatangkan dengan ciri
kawalan cengkaman elektronik (ASR) serta didatangkan
ABS untuk brek hadapan dan belakang. Bagi pilihan warna ia ditawarkan dengan
Gray Avio dan Nero Vulcano.