Baru saja kongsikan teaser lagu raya baharu berjudul Jemput Raya, ramai yang sudah meramalkan lagu nyanyian Ernie Zakri itu bakal mencipta fenomena sekali lagi.

Dengan melodinya yang cepat dapat ditangkap telinga dan visual promosi yang comel, tidak syak lagi taruhan baharu Ernie itu tidak salah.

"Wah! Macam vibe bakal evergreen, tak sabar!

"Fuh tahun lepas punya lagu raya pun duk ulang-ulang dengar.

"Best! Senang ingat korus.

"Melodi lagu Kenek-Kenek Udang Saloma," demikian tulis beberapa warganet di Instagram Ernie.


A post shared by @erniezakri


Jemput Raya merupakan lagu hasil ciptaan beberapa komposer hebat tempatan seperti John Jeeves, Shazriq Azeman dan Omar K.

"Saya ingin kumpulkan seberapa banyak lagu Raya yang mungkin pada setiap tahun dengan tema yang berbeza, namun saya akur untuk menghasilkannya bukanlah perkara yang mudah.

"Pada tahun ini, saya memilih ‘feel’ yang klasik dengan sentuhan moden dalam tema yang ceria agar senang diingati oleh segenap lapisan masyarakat yang merayakan Aidilfitri pada tahun ini.

"Jemput Raya seperti judulnya membawa maksud jemputan tatkala Hari Raya, di mana tetamu dijemput datang ke rumah kerana jikalau pada tahun-tahun yang lalu kita tidak dapat berbuat demikian, kini kita sudah boleh menerima kunjungan tetamu pada hari yang berbahagia ini," kata Ernie.

Single ini mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan dan sehari untuk proses rakaman.

"Saya mahu lagu ini menggambarkan perasaan keterujaan tibanya Hari Raya, dan tahun ini saya teruja dapat berpuasa dengan suami dan puteri sulung kami yang semakin membesar, itulah momen manis saya ketika Ramadan.

"Saya berharap lagu ini dapat membuat semua yang mendengarnya rasa gembira dan mahu turut bergoyang dengan perasaan yang girang, disamping dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan ‘jemputan’ Raya yang bakal tiba nanti," ujarnya.