Selepas lagu Sesungguhnya 2019 bersama Raihan meledak beberapa bulan lalu, penyanyi Alif Satar muncul semula dengan single terbaru sendiri berjudul I Want You To Love Me.

Menariknya tentang lagu ini, ia masih menerima sentuhan Faizal Tahir bersama Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan.

Menjelaskan tentang single tersebut, Alif dalam satu kenyataannya menyifatkan I Want You To Love Me memberinya ruang untuk meneroka sisi kreatif dalam penulisan lagu, lirik serta proses rakaman.

Menurut Aliff, lagu terbaru ini mempunyai ciri-ciri bunyi moden yang diinginkan.

"Secara peribadi, saya berpuas hati dengan penghasilan lagu ini. Susunan muziknya juga serasi dengan cara penyampaian saya dan paling penting, mereka membuatkan saya selesa sepanjang proses rakaman berlangsung.

"Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Faizal dan pasukannya kerana mereka sudah mengenali sisi peribadinya serta cara persembahannya di pentas," katanya.

Tambah Alif, lagu ini juga bakal membawa peminat mengimbau era kegemilangan nuansa muzik 1990-an terutamanya dari sudut susunan muzik.

"Saya membesar bersama muzik yang dipopularkan Justin Timberlake dan Bruno Mars, elemen itu cuba diterapkannya dalam I Want You To Love Me.

"Selepas 14 tahun saya bertapak dalam industri muzik, sudah tiba masa untuk saya memberikan sesuatu yang mencerminkan karakter dan kedewasaan saya. Paling mengujakan, lagu ini turut dilancarkan serentak bersama video muzik," katanya.

Difahamkan, single I Want You To Love Me sudah boleh dilayari di semua platform penstriman seperti Spotify, JOOX , Itunes, KKbox & Deezer.

Untuk rekod, Alif memulakan kerjaya nyanyian pada usia 16 tahun selepas meraih tempat ketiga dalam program realiti One In A Million.

Antara lagu yang meniti di bibir peminat sehingga kini termasuklah Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Selamanya Cinta, Sesungguhnya Aku dan Sebenarnya (duet bersama Siti Nordiana).