Victoria's Secret Fashion Show Buka Mata Neelofa

Amri Hassan
November 27, 2017 07:21 MYT
Neelofa menjadi satu-satunya hijabsta Malaysia yang diundang untuk menyaksikan pertunjukan fesyen ikonik, Victoria's Secret Fashion Show di Shanghai, China minggu lalu.
Berkongsi perasaan dan pengalaman sepanjang berada di sana, kata Neelofa, dia teruja melihat proses produksi pertunjukan fesyen terbesar dunia itu di depan matanya.
"Ia merupakan pengalaman bermakna buat saya kerana dapat melihat sendiri proses produksi pertunjukan fesyen itu daripada sebelum bermula, ketika iklan sampailah selesai acara.
"Bukan senang untuk menguruskan sebuah acara yang dihadiri oleh lebih 3,000 tetamu serentak.
"Banyak kesilapan teknikal yang perlu mereka perbaiki pada waktu itu juga walaupun tenaga kerja terdiri daripada profesional dan taraf antarabangsa.
"Memang ia satu pengalaman menyeronokkan walaupun saya ada dengar cerita kurang enak tentang kehadiran saya ke acara itu namun ia membuka mata saya daripada perspektif berbeza," katanya kepada Astro Gempak.
Neelofa yang ditemui pada InTrend Gala Night 2017 di Aloft Hotel, Kuala Lumpur turut menceritakan pengalaman menarik sepanjang beberapa malam di Shanghai, China.
"Saya tidak sangka Shanghai sangat menarik! Saya pernah ke Beijing, Guang Zhou dan Shenzen sebelum ini namun ketika berada di Shanghai, saya rasa seperti di Eropah.
"Binaan bangunan lama daripada awal tahun 1927 yang reka bentuknya mirip Eropah dan Perancis buat saya rasa lagi teruja. Shanghai sangat cantik!" tambah Neelofa.
Pertunjukan fesyen Victoria's Secret Fashion Show itu memecah tradisi apabila pertama kali diadakan di luar Amerika Syarikat dan Eropah minggu lalu.
Victoria's Secret Fashion Show 2017 melibatkan 55 orang supermodel termasuk Candice Swanepoel, Bella Hadid, Adriana Lima dan ramai lagi.
Kebanyakan rekaan mengambil inspirasi Cina dan yang paling mendapat perhatian ialah rekaan ‘Fantasy Bra’ yang berharga lebih 2 juta dollar dan diperagakan model Brazil, Lais Ribeiro.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @neelofa
#Neelofa #China #Victoria's Secret Fashion Show