Laman Utama
[VIDEO] Abadikan Arwah Adik Dalam Satu Lukisan, Yana Samsudin Bikin Netizen Hiba - "Rindu Sangat Sebab Adik Tak Datang Singgah Lagi..."
Pelakon Yana Samsudin mencetuskan rasa hiba dalam kalangan pengikut Instagramnya apabila berkongsi sepotong video mengenai arwah adiknya, Allahyarham Muhammad Fahmi Harith Samsudin.
Muhammad Fahmi yang meninggal tahun lalu ketika tidur di kediamannya diabadikan dalam sekeping lukisan bersama anak lelakinya yang tidak sempat ditemui sebelum ajal.
"Al Fatihah... Akak sentiasa rindukan kau dik... Fattah dah setahun dik...
"Sebak, meremang akak tengok video ni... akhirnya lukisan ni menyatukan adik dengan isteri dan anak walaupun bukan dalam realiti. Jadi satu keluarga... tengok muka Fattah yang tak tahu apa apa ... dia tak faham lagi.
"Fattah pun dah setahun, masa adik pergi umur dia baru 30 hari. Sekarang semakin hari semakin bijak dan comel.. pandai @mizznana88 jaga anak dan jadi mama yang baik.
"Ya Allah, semoga Fattah besar nanti dia akan menjadi anak yang soleh sangat kuat dan tabah," kata Yana.
Tanggal 3 Mac lalu genap setahun pemergian Muhammad Fahmi, seberat rindu yang bertandang di hati Yana sekeluarga.
"Dah genap setahun (3 Mac 2020) juga adik tinggalkan kami.. tapi akak rasa macam semalam.
"Cuma rindu sangat sebab rasa lain adik takda datang singgah singgah lagi kat rumah ni.. Semoga adik, Fattah dan Nana jumpa kat syurga lengkap jadi satu keluarga selamanya.. akak sayang adik dunia akhirat.
"Rindu yang takda penghujung, dan kita semua akan lalui," tambah Yana.
Mengimbas kembali detik menyentuh hati itu, Muhammad Fahmi yang baru menimang cahaya mata sulung selepas 3 tahun mendirikan rumah tangga tidak berkesempatan menatap anaknya apabila meninggal dunia dalam tidur ketika di kediamannya.
Balunya, Farhana Khalid ketika itu sedang berpantang di Sarawak.