[VIDEO] : “Alhamdulillah Dah Boleh Bercakap, Suara Perlahan Walaupun Masih Lemah” - Ungku Ismail Update Nad Zainal
Mya Amri
02/12/2022 03:55 MYT
02/12/2022 03:55 MYT
Pelakon Ungku Ismail berkongsi perkembangan terkini Nad Zainal yang banyak menunjukkan perkembangan positif biarpun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) KPJ Ampang Puteri sejak minggu lalu.
Menurut Ungku, Nad kini tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan sudah boleh bercakap walaupun keadaannya masih lemah.
“Alhamdulillah hari demi hari dia banyak menunjukkan perkembangan positif dan proses pemulihan dia juga sangat baik.
“Dia tidak lagi menggunakn tiub pernafasan, walaubagaimanapun dia masih lagi dalam ICU. Kita doakan semuanya mudah dan berjalan dengan lancar.
“Doktor akan melancarkan prosedur lain untuk memastikan oksigen cukup. Sekarang pun oksigennya masih wavering, kadang-kadang drop sebab ini baru hari pertama nak catch up dengan paru-paru dia sendiri.
“Dia sudah boleh bercakap, suaranya sangat-sangat kecil, serak, susah nak dengar. Tetapi dari segi pergerakkan, Nad sudah boleh pegang telefon tetapi tidak boleh menaip kerana masih lemah.
“Nanti akan ada fisioterapi, insya-Allah. Dia ada demam sikit, kadang-kadang badan dia panas. Paru-paru dia juga sudah boleh kembang kencup balik,” jelasnya.
Ungku berkata demikian menerusi video yang dimuat naik dalam hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Ungku juga berharap agar orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai keadaan Nad ketika ini.
“Saya mohon sangat agar sudah-susahlah membuat spekulasi tentang apa yang menyebabkan penyakit dia.
“Long COVID, masalah buah pinggang, semua ini tidak keluar dari mulut doktor. Benda ini haruslah dihentikan.
“Sepanjang saya di hospital dan bersama doktor, dimaklumkan tidak ada kena mengena dengan apa yang dia makan.
“Sudah-sudahlah tu, tolonglah. Kita tidak mahu benda ini menjadi punca melarat dan beri ancaman,” jelasnya.
Saksikan penjelasan penuh Ungku di bawah: