Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

[VIDEO] Anggi Marito Cerita Tentang Susahnya Lupakan Kekasih Dalam 'Tak Segampang Itu'

Amri Hassan
21/05/2023 06:23 MYT
Penyanyi muda yang berbakat Anggi Marito kembali mengeluarkan karya terbaru dengan single yang bertajuk ‘Tak Segampang Itu’. Ini menjadi single keduanya sebagai penyanyi profesional yang juga dirilis di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.

Sebelum ini, pada November 2021, Anggi Marito yang juga merupakan peserta pencarian bakat Indonesian Idol musim kesebelas telah mengeluarkan single pertamanya berjudul 'Cara Cintamu'.

Dalam single ‘Tak Segampang Itu’, Anggi Marito kembali menyajikan muzik pop ballad romantik sebagai warna muziknya. Sementara, untuk tema cerita masih tentang percintaan.

Untuk lagu ini, Anggi Marito kembali bekerjasama dengan salah satu pencipta lagu hits percintaan, Mario G Klau. Hal yang sama dilakukannya di single pertamanya. Tidak hanya itu, Anggi Marito turut menarik pemuzik senior terkenal iaitu Tohpati, untuk mengaturkan lagu tersebut. Sebuah kolaborasi yang sangat epik!

“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya sebenarnya akan bekerja dengan Mario lagi, tetapi secara jujur, saya sangat menyukai lagu kedua ini. Bermula dari lirik yang mudah difahami, dan manis,” ujar Anggi Marito

Lagu ‘Tak Segampang Itu’ menceritakan tentang seseorang yang belum boleh melupakan bekas kekasihnya. Walaupun ada orang baru yang datang dan dianggap sempurna, tetapi tidak boleh diterima kerana masih ada bayangan bekas kekasihnya itu.

Biarpun hasil akhir lagu 'Tak Segampang Itu' ini sangat baik dan sedap untuk didengari, namun terdapat beberapa perkara yang amat mencabar dalam proses pembikinannya sehingga dapat disampaikan dengan baik oleh Anggi Marito.

“Salah satu kesulitan yang saya hadapi dalam lagu ini adalah cara untuk menghayatinya. Kerana mendengar back story lagu ini yang sangat menyayat hati, Ia satu cabaran untuk saya, bagi mencari cara supaya saya boleh meletakkan ‘kesedihan’ dalam lagu ini," tambah Anggi.

Kebolehan Tohpati dalam menyusun lagu tidak diragukan kerana beliau antara yang terbaik! Gabungan alat piano dan string section menjadi pemanis dalam setiap not dinamik yang dihasilkan. Tambahan pula, perwatakan dan kualiti Anggi Marito dalam menterjemah setiap not lagunya membuatkan ia lebih enak untuk didengari.

Untuk muzik video pula, single ‘Tak Segampang Itu’ mengambil konsep lipsync yang dilakonkan oleh Anggi Marito dan Axel Mattew dan diarahkan oleh Prialangga.

Konsep lipsync mengambil set outdoor dengan landscape alam dan wardrobe yang konseptual. Sedangkan, untuk konsep story menyajikan suasana ala drama Korea.

“Ceritanya sangat menarik, kisah cinta mereka berdua sebenarnya sudah berakhir, malah Anggi sudah sedaya upaya mencari pengganti tetapi gagal” kata Prialangga mengenai muzik video itu untuk ‘Tak Segampang Itu’.

Anggi Marito berharap lagu ini boleh dikaitkan dengan ramai orang, dan boleh menjadi jawapan serta inspirasi kepada yang mendengar.

“Ada tiga sebab kenapa lagu ini harus didengarkan, pertama, lagu ini pastinya boleh dikaitkan dengan ramai orang. Kemudian, lagu ini sesuai untuk anda yang ingin menikmati gelora mengenang kekasih. Akhir sekali, lagu ini sangat mudah untuk diingati dan akan melekat di fikiran anda," akhiri Anggi.

Lagu ‘Tak Segampang Itu’ telah keluarkan sejak 2 November 2022 yang lalu dan boleh didengari di semua digital platform dan tonton muzik videonya di platform YouTube rasmi Anggi Marito.


#Indonesia #Anggi Marito #Tak Segampang Itu
;