Pelakon Arja Lee meluahkan rasa syukur apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam sebuah Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah, pada Sabtu.

Arja atau nama sebenar Azharudin Ramli, 39, menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP).

Menerusi muat naik di Instagram, Arja berkata perasaannya begitu berdebar saat nama dipanggil ke pentas bagi mengambil Ijazahnya.

“Debarnya sungguh berbeza kali ini! Tak dapat saya gambarkan perasaan dan apa yang bermain di fikiran saya pada waktu ini, teramat berbeza!

“Tatkala nama saya disebut sehinggalah terdengar jeritan penuh kasih sayang daripada keluarga tercinta di depan mata menjadi penawar dikala gugup setelah menerima ijazah di atas pentas.

“Ya aku kini bergelar Graduan Ijazah Sarjana, Alhamdulillah officially graduated,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arja turut berkongsi beberapa foto dan video yang memperlihatkan dirinya sedang mengenakan jubah konvokesyen berwarna biru gelap sambil memegang ijazah buat tontonan umum.

A post shared by Arja Lee (@arjalee)

Sementara itu, memetik Harian Metro, Arja berkata, kejayaan yang dikecapi ini adalah bagi menunaikan impian dan hadiah kedua arwah ibu bapanya, Allahyarham Ramli Uteh dan Allahyarham Salmah Aziz.

Dalam masa sama, dirinya mengaku berbaloi di atas usaha kerasnya selama dua tahun pengajian selain berharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

"Saya gembira pengorbanan dua tahun menyambung pengajian berbaloi walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara serta pensyarah tahun pertama di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bahru, Kelantan.

"Kejayaan saya memberi mesej yang jelas bahawa selebriti sebenarnya mampu berjaya dalam pendidikan dan boleh menjadi contoh masyarakat," katanya.

A post shared by Arja Lee (@arjalee)

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!