Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menasihati orang ramai supaya tidak mengecam atau memperkecilkan orang yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris.

Kata Siti Nurhaliza, tidak salah jika ada kesilapan bertutur dalam bahasa berkenaan kerana dari situ seseorang dapat mempelajarinya.

“Janganlah terlalu berbangga kalau dapat berbahasa Inggeris dan memperkecilkan orang lain yang tidak mahir bertutur dalam bahasa tersebut.

“Tidak salah kalau kita tersilap. Kalau ada yang menegur, kita belajar. Kalau ada yang menegur, saya akan ucapkan terima kasih sebab dapat belajar sesuatu benda baharu.

"Jangan kecam orang sesuka hati sebab belum tentu orang yang mengecam itu sempurna dan bijak pandai,” katanya.

Isteri kepada Datuk K atau nama penuh Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu berkongsi pendapatnya dalam satu temu bual yang dimuat naik ke dalam akaun TikTok @sitizones.official

@sitizones.official #world #foryoupage #malaysia #fyp #no1 #sitizone #ctdk #sitinurhalizagallery #datositinurhaliza #sitizoner #sitinurhaliza #tokti #bakatsiti #muziumsiti #vokalsiti #biduanita #biduanitasitinurhaliza #english #speaking ♬ bunyi asal - SitiZone

Dalam temu bual itu, Siti akui dia kurang yakin bertutur dalam bahasa berkenaan namun tidak menafikan mampu bercakap bila berada di luar negara.

"Saya mungkin kurang yakin (bertutur dalam bahasa Inggeris). Itu sahaja kekurangan saya. Tapi sebenarnya saya mampu untuk bercakap bila berada di luar negara atau bukan dalam kalangan orang-orang yang suka menghakimi.

“Sememangnya saya akui untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dengan lancar, kita memerlukan keberanian dan selalu berlatih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris,” jelasnya.

Tambah penyanyi lagu Remember You itu lagi dia tak nafikan faktor persekitarannya mempengaruhi dirinya dalam penguasaan bahasa Inggeris.

“Mungkin sebab saya dibesarkan dalam keluarga yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah dan lebih senang bercakap dalam bahasa Melayu.

“Itu adalah antara cabaran yang perlu saya hadapai. Tetapi saya tidak melihat kekurangan tersebut untuk seseorang itu patah semangat untuk berjaya,” beritahunya.

Siti juga menjadikan negara Jepun sebagai contoh kerana rakyatnya bangga dengan bahasa ibunda mereka dan dalam masa yang sama masih boleh maju ke hadapan.

"Tengok macam mana orang Jepun memperkayakan bahasa mereka dan jauh lebih ke hadapan berbanding kita.

“Bahkan orang Barat sendiri banyak belajar dengan orang Jepun tentang teknologi walaupun masih berpegang dengan bahasa ibunda mereka,” ujarnya.