Video memperlihatkan tangan seorang lelaki di bahu pelakon Eyka Farhana mencuri perhatian netizen yang rata-rata meneka individu itu adalah pemain bola sepak JDT iaitu Akhyar Rashid.

Tidak mahu mengiyakan atau menidakkan, Eyka bagaimanapun memilih untuk membiarkan sahaja netizen membuat andaian sendiri.

“Saya sebenarnya tak tahu nak komen apa, sebab dah ramai komen dekat TikTok itu. Bagi saya, kalau mereka rasa individu dalam video orang itu… orang itu la.

“Kalau bukan, bukan la. Saya sebenarnya tak nak bercerita sangat soal peribadi. Sebab saya pun dah banyak diam dan lebih baik begini.

“Supaya tiada lagi kecaman yang baik atau buruk daripada mana-mana pihak. Kadang-kadang netizen lebih tahu. Kalau saya cakap benda betul atau salah, tetap saya kena.

“Jadi lebih baik saya berdiam diri dan biarkan mereka yang menilai sendiri,” katanya kepada Gempak ketika ditemui di pra tonton drama Astro Original terbaharu berjudul One Cent Thief pada Selasa.

Sebelum ini, Eyka dikatakan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pemain bola sepak terkenal itu namun dia pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai mereka.

@misseykaf #freezeframe ♬ STFU - Digga D

Mengulas mengenai penampilannya yang dikatakan terlalu seksi, Eyka berkata dia sentiasa terbuka menerima teguran baik daripada netizen.

“Mungkin saya dah lama sangat dapat komen dari segi positif dan negatif. Macam yang saya cakap sebelum ni, saya akan ambil yang positif.

“Contoh macam cara pemakaian saya, mungkin lama-lama netizen akan terima diri saya sendiri. Kadang-kadang saya rasa tersekat nak buat sesuatu macam orang lain.

“Bila lama-lama saya fikir balik, apa kata biar saya jadi diri sendiri. Dulu saya terasa juga bila baca komen tapi sekarang saya tak baca untuk kesihatan mental saya sendiri.

“Tapi kalau orang tu DM saya baik-baik nak tengok saya berubah, saya akan balas Insya-Allah satu hari nanti,” ujarnya.