[Video] “Bukan Senang Nak Dapat Macam Ni” - Hadiahkan Gelang, Ramai Suka Lihat Adira Akrab Dengan Madu
Mya Amri
17/03/2023 05:50 MYT
17/03/2023 05:50 MYT
Keakraban hubungan antara penyanyi Adira Suhaimi bersama madunya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim atau lebih dikenali sebagai Datin Red mendapat perhatian netizen.
Ini kerana Adira telah berkongsi video yang merakamkan momen manis sewaktu Datin Red menerima kejutan bersempena ulang tahun kelahirannya.
Video tersebut menunjukkan Adira sedang memakaikan gelang tangan berjenama antarabangsa popular, Swarovski sebelum memeluk madunya.
“Selamat hari jadi kakak sayang. Tak tahu nak cakap apa tapi Alhamdulillah. Datang awal sehari sebab esok takut tak sempat singgah," tulisnya.
Di ruangan komen juga, rata-rata netizen tersentuh melihat keakraban hubungan mereka berdua dan mendoakan agar Adira dan Datin Red sentiasa berada dalam keadaan harmoni.
“Adira ni baik tau sebab dia tahu batas. Tahu hormat madu dia.. Dia tahu dia nombor dua tapi tak pernah nak cantas nombor satu. Dia rilek je enjoy kehidupan dia dan tak nak expose suami sebab dia tahu kedudukan dia dekat mana. Semoga syurga buat kalian berdua,” tulis seorang netizen.
“Si suami pandai main peranan. Yang nombor dua tahu menghormati nombor satu. Masing-masing tahu kedudukan masing-masing, suka tengok,” puji seorang lagi netizen.
“Sebak pula tengok, bukan senang nak dapat berdua yang baik macam ni, semoga hubungan korang kekal sampai bila-bila,” coret seorang lagi netizen.
Adira berkahwin dan menjadi isteri kedua kepada Datuk Red atau nama sebenarnya Adenan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayoub yang kini berusia enam bulan.