[VIDEO] Cedera Buat Stunt Sendiri, Ibu Wafariena Takkan Buat Laporan Polis - "Saya Tak Nak Keruhkan Keadaan, Pihak Sana Dah ..."
Shahrin Zulkifle
10/10/2022 02:00 MYT
10/10/2022 02:00 MYT
Baru-baru ini pelakon Wafariena meluahkan rasa terkilan kepada pengarah sebuah drama apabila dikatakan seolah-olah lepas tangan selepas dirinya mengalami kecederaan sewaktu melakukan aksi lagak ngeri dalam drama tersebut.
Susulan kecederaan yang dialami itu, Wafa telah dimasukkan ke sebuah hospital di Rawang, Selangor bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, menurut ibu kepada aktres berusia 27 tahun itu, dia menyedari akan isu yang timbul dan enggan mengeruhkan keadaan, sebaliknya terbuka untuk menyelesaikan masalah anaknya secara baik.
“Saya tak akan lakukan sebarang laporan polis kerana mereka sudah pun beri kerjasama dan menjawab mesej saya.
“Saya pun tak mahu keruhkan keadaan, kalau pihak saya buat laporan pastinya pihak sana akan turut susah sekali, kami memahami. Mereka juga kata akan bertanggungjawab dengan kes ini.
“Setakat ini masih belum sempat lagi untuk berjumpa pihak sana, bagaimanapun Wafa akan bertindak professional dan akan selesaikan dengan baik.
“Berlakon itu amanah dan tanggungjawab, Wafa boleh sahaja bekerja semula bila dah sihat nanti,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Terdahulu, Wafa berkongsi berita dia dimasukkan ke hospital menerusi satu hantaran video di Instagram miliknya.
Ditanya mengenai perkembangan tahap kesihatan Wafa, ibunya berkata anaknya masih ditahan wad dan dalam pemerhatian pihak pakar perubatan.
“Wafa masih dirawat di Hospital Rawang untuk rawatan lanjut, mohon semua doakan kesembuhan Wafa.
“Doktor kata setakat ini tiada masalah teruk, tulang-tulangnya lepas X-ray tadi semua okay,” tambahnya.