Pengarah Michael Ang, 45, tampil mempertahankan diri selepas didakwa telah melanggar tatacara operasi standard (SOP) dengan melakukan penggambaran di kawasan outdoor.

Bagi mengukuhkan kebenaran, Michael menerusi sebuah rakaman video menunjukkan kawasan penggambaran yang dilakukan di dalam kawasan hotel bukan di luar seperti yang didakwa.

"Video menjelaskan kepada penggiat-penggiat seni, production manager (PM) Malaysia, persatuan-persatuan tersohor Malaysia dan produser-produser terkaya Malaysia yang menuduh aku tak ikut SOP sebab shoot di outdoor. Tanpa memeriksa atau telefon bertanya dekat kita, dia orang buat laporan dan viralkan!

"Gambar pakcik ( pelakon tambahan) tu adalah orang yang meminta gambar dari runner saya dan sebarkan! Motif dia mintak gambar pun saya tak tahu... sama ada orang suruh dia buat atau tak, aku husnuzon saja.

"Haritu shoot kat sini (berdekatan salah satu pintu hotel), gambar itu diambil dari sini.

"Nampak pagar putih itu, masa aku shoot ditutup selepas selesai penggambaran dah buka balik, shoot kat sini ya, dalam kawasan hotel, bukan di outdoor," katanya di Instagram (IG).

A post shared by Michael Ang (@michaelang38)


Menerusi entri itu, Michael turut memuat naik paparan skrin yang ditulis seorang individu yang mendakwa produksinya telah melanggar SOP termasuklah dengan tidak memakai pelitup muka.

Dalam pada itu, Michael meluahkan rasa simpati dengan pasukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang terpaksa turun padang bagi membuat pemeriksaan di lokasi penggambaran pada hari cuti umum.

"Yang aku paling kesian adalah pihak Ahmad Idham yang terpaksa menyuruh budak-budak dia untuk ke Ipoh pada hari cuti umum untuk soal siasat kita untuk benda bodoh ni!

"Dah dah la kau orang yang busuk hati tu pergi dan bersihkan jiwa kau dan cari rezeki yang halal bukannya menutup periuk nasi kawan-kawan kau orang dan ahli persatuan kau orang!" katanya lagi.

Difahamkan, Michael sedang menyambung penggambaran drama bersiri Angkara Cinta yang terpaksa ditangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jangan lupa saksikan Angkara Cinta yang disiarkan menerusi slot Tiara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.