[VIDEO] Idea Asal Mechamato Tercetus Selepas Tengok Anak Sendiri Sedang Bermain Kotak? Pengarah Dedah Cerita Sebenar
Pengarah dan penulis skrip Mechamato Movie, Nizam Abd Razak mendedahkan tercetusnya ideal asal untuk menghasilkan filem animasi tersebut adalah daripada anaknya.
Sudah merancang untuk menghasilkan sebuah filem animasi sejak tahun 2014, Nizam bagaimanapun tidak begitu yakin pada ketika itu disebabkan jalan cerita yang kurang unik.
Sehingga pada suatu hari dia yang melihat anaknya sedang bermain dengan kotak dan menjadikan ia robot lantas mencetuskan idea baharu buat Nizam.
“Projek ini mengambil masa yang sangat lama untuk dibuat sejak daripada sebelum zaman pandemik lagi iaitu 2020 dan sekarang secara total ia mengambil masa selama dua tahun lebih untuk complete.
“Idea asal Mechamato ini sebenarnya dah lama iaitu pada tahun 2014, masa itu saya memang nak sangat buat cerita robot, cumanya waktu itu cerita robot yang saya nak buat tidak unik, hanya cerita seorang budak dengan robot sahaja.
“Tapi pada suatu hari waktu saya kemas rumah sebab baru lepas pindah, anak saya sedang bermain dengan kotak, dia bayangkan kotak itu jadi kereta, jadi tank dan kapal terbang.
“Maka dari situ saya terfikir kenapa tidak buat satu cerita robot yang ada kuasa mechanize (mesin teknologi yang boleh berubah-ubah), yang boleh jadi kapal dan macam-macam.
“Jadi itu lah yang tercetus nya idea dan bermula daripada 2017 sudah start develop, start pitch idea dan sehingga berjaya terhasilnya filem ini,” kongsinya kepada Gempak.
Nizam berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan Mechamato Movie yang berlangsung di Midvalley Mall, Kuala Lumpur pada Selasa.
Sementara itu, turut hadir bersama pada malam tersebut iaitu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.
Untuk info, Astro Shaw merupakan penerbit bersama dengan syarikat MONSTA selain menjadi pemasar dan pengedar Mechamato Movie.
Sinposis:
Mechamato mengisahkan bapa kepada watak BoBoiBoy iaitu Amato yang muncul dalam BoBoiBoy Movie 2, seorang pemuda yang secara tidak sengaja menjadi pemilik MechaBot, sebuah Power Sphera berkebolehan membentuk “mechanize’ dengan objek lain.
Hasil gabungan mereka telah mewujudkan kemunculan wira, Mechamato! Keadaan menjadi lebih sangat cemas apabila Mechamato bakal berhadapan dengan penjahat berupa alien, Grakakus yang ingin merampas MechaBot daripada tangan Amato untuk memastikan agenda jahatnya terlaksana!
Apakah agenda jahat yang dirancang oleh Grakus? Mampukah adiwira baru ini menghalang agenda jahat Grakakus? Kalau nak tahu apa yang terjadi, saksikan Mechamato di pawagam berdekatan anda pada 8 Disember ini!