Laman Utama

[VIDEO] Jadi Trend Artis Indonesia Rakam Balik Lagu Malaysia, Giliran Raffa Affar Pilih Lagu M. Nasir

gempak
Amri Hassan
20/06/2022
09:50 MYT
Sponsor Banner
[VIDEO] Jadi Trend Artis Indonesia Rakam Balik Lagu Malaysia, Giliran Raffa Affar Pilih Lagu M. Nasir
“Tiara” lagu ciptaan sepenuhnya oleh Datuk M.Nasir, yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Kris, menjadi single terkini Raffa Affar, setelah lagu hitnya “Cinta Sampai Mati”.
Raffa Affar, pemuda dari Jawa Barat Indonesia, adalah satu nama popular dalam media sosial dengan hampir 4 juta pengikut di aplikasi Tik Tok, merakam ulang (cover) lagu “Tiara” yang pernah menjadi siulan pada tahun 90an.
Apabila ditanya kenapa memilih “Tiara” daripada beribu lagu malar segar daripada negara jiran Malaysia, Raffa menjawab lagu ini dekat dalam hati ramai.
"Lagu ini dekat dalam hati saya dan saya rasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini," katanya.
Lagu “Tiara” yang dahulunya adalah lagu ‘slow rock, telah dibawakan oleh Raffa dengan cara dan gayanya sendiri.
Selain lagu singlenya “Cinta Sampai Mati” viral di TikTok, Raffa terkenal juga dengan suaranya yang unik dan wajah mudanya yang kacak.
Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio, Aidilhayat Omar berkata sudah menjadi trend terkini lagu-lagu Malaysia dirakam ulang oleh penyanyi Indonesia.
"Kini memang menjadi satu trend lagu-lagu Malaysia dirakam ulang oleh penyanyi-penyanyi Indonesia. Rupanya tanpa disedari, pengaruh lagu-lagu malar segar daripada pencipta-pencipta negara ini, telah pergi jauh sehingga ke negeri-negeri seberang," ujarnya.
Hayat Kreatif Studio yang bertanggungjawab dalam pengedaran dan promosi untuk lagu nyanyian Raffa di Malaysia, yakin pemilihan lagu Tiara adalah tepat. Jumlah tontonan di saluran youtube Raffa mencecah 300,000 setiap hari. Setelah Raffa, ramai yang sudah mula rakam ulang lagu “Tiara” di Indonesia.
Dengan kolaborasi ini, Hayat Kreatif Studio juga berharap trend merakam ulang lagu-lagu malar segar popular seperti Tiara ini akan berterusan kerana ianya dapat memperkenalkan kembali lagu-lagu lama kepada generasi muda hari ini.
Single “Tiara” ini merupakan single kedua hasil kolaborasi di antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment. Manakala, hakcipta lagu ini adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live