Kes penipuan yang membabitkan juruvideo dan pasangan pengantin bukanlah sesuatu yang baru.

Biarpun sering terjadi, nampaknya masih ada golongan 'videographer' yang tak serik-serik dan masih melakukan perkara sama.

Terbaru, menerusi laman sosial Facebook, seorang wanita bernama Nur Amirah Sharbuddin menceritakan pengalaman buruk yang dilalui bersama juruvideo ketika majlis bahagianya.

Mendirikan rumah tangga pada 20 Disember tahun lalu, Amirah berkongsi pengalaman dengan juruvideo yang sering memberikan alasan untuk memberikan hasil akhir video perkahwinannya.









Selepas lebih enam bulan menanti, Amirah mendapati video hari bahagianya tidak seindah yang dijangkakan.

Dek kerana pelbagai alasan kurang munasabah yang diberikan sepanjang tempoh penantian serta beberapa penipuan yang dihadapi serta video perkahwinan yang hasilnya cincai, Amirah membuka cerita buruk yang dihadapi olehnya.

"Saya bukan kejam kerana selepas hampir setengah tahun menunggu, baru saya ambil tindakan. Banyak kali saya berhubung dengan mereka, pelbagai alasan diberikan.

"Tujuan saya berkongsi perkara ini kerana mahu mereka menjadikan perkara ini pengajaran dan saya juga enggan pasangan pengantin lain terkena.

"Bayangkan majlis bahagia anda yang dinantikan sekali seumur hidup dimusnahkan dengan kejadian sebegini. Sejujurnya, saya dan suami amat kecewa," kata Amirah ketika dihubungi Gempak.

Amirah berkongsi kronologi kejadian di laman Facebook miliknya.



Menerusi dua status dikongsi oleh Amirah yang tular di laman Facebook, rata-rata netizen yang meninggalkan komen di entri terbabit bersetuju dengan tindakan wanita itu.

Ramai juga yang meninggalkan komen dan mengatakan Amirah telah dianiaya oleh juruvideo terbabit.