[VIDEO] “Kami Bukan Berkawan 3 Hari Tapi 30 Tahun” - Qi Razali Yakin Radhi Mampu Kemudi OAG, Keluar Bukan Sebab Gaduh
Mya Amri
13/01/2023 02:45 MYT
13/01/2023 02:45 MYT
Pemain dram OAG, Qi Razali, 46, mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari kumpulan OAG selepas 30 tahun bersama.
Bagaimanapun kata Qi, keputusan meninggalkan kumpulan itu bukanlah disebabkan berlaku perselisihan faham dengan anggota lain.
“Ya, secara rasmi saya telah keluar dari OAG dan saya buat keputusan ini pun bukan atas dasar kita gaduh atau berselisih faham.
“Tak, saya dah fikir masak-masak bahawa inilah dia keputusan yang terbaik buat diri saya. Saya yakin Radhi orang yang terbaik untuk mengemudi OAG,” jelasnya dalam video yang di muat naik di akaun Instagram miliknya.
Malah kata Qi, dia percaya vokalis OAG iaitu Radhi mampu mengemudi dan membawa hala tuju kumpulan tersebut dengan baik.
“Kami berkawan pun bukannya tiga hari atau tiga bulan, tiga tahun tetapi 30 tahun dan saya yakin dia pun akan doakan yang terbaik untuk saya macam mana saya pun doakan yang terbaik untuk dia.
“Jadi kisah saya dengan OAG sampai di sini sahaja tetapi perjalanan saya dalam dunia seni ini akan tetap diteruskan sama ada muzik, berlakon, pengacaraan, apa sekali pun saya tetap akan kejar cita-cita dan impian saya.
“Saya doakan yang terbaik untuk semua orang dan saya harap orang pun akan doakan yang terbaik untuk saya,” jelasnya.
Untuk info, Qi telah bersama OAG sejak band itu ditubuhkan pada awal 1990-an. Selain Qi, OAG juga dianggotai Radhi (vokalis), Ammal Bellamy (gitaris) dan Nazrin Zabidi (bes).
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.