Pelakon hebat Datuk Adi Putra enggan mengulas secara terperinci dakwaan memiliki kekayaan sebanyak AS$5 juta (RM21.9) sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah portal tempatan baru-baru ini.

Menurut Adi, 44, dia lebih selesa menganggap segala kesenangan dan kekayaan yang dimiliki adalah rezeki dari Allah.

"Angka itu diberikan oleh orang dan Ia boleh jadi lebih dan kurang. Namun, ia hanya angka, apa yang lebih penting ialah hala tuju kita sebagai hamba. Saya hanya meminjam daripada-Nya sahaja.

"Kalau boleh janganlah gelar saya jutawan. Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir. Ada sesetengah pihak yang menunjukkan kemewahan mereka di laman sosial.

"Namun saya lebih selesa di belakang tabir kerana ada banyak urusan yang ingin saya ceburi. Kalau saya berhenti berlakon, ada yang akan merindui. Saya hanya membantu mereka untuk ke destinasi," katanya.

Adi berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan majlis pelancaran filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentara Udara, Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Terdahulu, menerusi laporan sebuah portal, Adi tersenarai sebagai selebriti yang mempunyai kekayaan lebih dari 1 juta USD pada tahun 2017/2018.

Malah, Adi juga tersenarai sebagai 10 selebriti terkaya di Malaysia.

Untuk rekod, Adi menubuhkan syarikat agensi pengurusan umrah dan haji bermula tahun 2013.

A post shared by ADI PUTRA #taatpadayangsatu (@adpadiputra)


Sinopsis Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

Filem ini mengisahkan Kapten Adib dan Major Adnan bersama skuadnya yang terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara yang sedang dalam pergolakan.

Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas.

Mengetahui perkembangan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengarahkan misi untuk menyelamatkan mereka semua. Zafran, abang ipar kepada Adib dan juga seorang pilot SUKHOI berusaha untuk menyelamatkan mereka. Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Selain Adi Putra, filem ini turut dibintangi Pablo Amirul, Johan As'ari, Sara Ali, Anas Ridzuan, Iman Corinne, Niezam Zaidi, Carmen Soo, Scha Alyahya dan Azira Syafinaz.