Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

[VIDEO] Kolaborasi Khas Bersama Zach King Hadiah Buat Peminat, Impian Terbesar Sofyank Akhirnya Tercapai - “Tiada Kata Yang Mampu…”

Asyikin Mayudin
30/04/2023 07:50 MYT
Lapan tahun menghiburkan warga media sosial dengan video yang menarik, pencipta kandungan digital Sofyank tampil berkolaborasi khas bersama pempengaruh media sosial antarabangsa Zach King.

Sofyank yang juga penerima Anugerah Gempak Hall Of Fame di Gempak Most Wanted Awards 2022, berkata kolaborasi tersebut adalah untuk semua peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada video yang dihasilkannya.

"Selepas lapan tahun saya muat naik video di media sosial untuk hiburan semua, kali ini saya hadiahkan korang satu video kolaborasi khas antara saya dan idola saya, @zachking.

"Kolaborasi ini khas untuk semua yang sentiasa bagi sokongan terhadap video kami," katanya dalam kapsyen video itu di YouTube.

Pada video yang sama yang dimuat naik di Instragram Zach King, Sofyank turut meninggalkan komen mengatakan impiannya untuk bekerjasama dengan pereka kandungan digital terkemuka itu akhirnya tercapai.

“Akhirnya, impian terbesar saya sebagai pereka kandungan digital untuk berkolaborasi dengan anda (Zach King) telah menjadi realiti, dan tiada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa gembiranya saya!" tulisnya.

Menerusi video pendek itu memperlihatkan mereka berlakon dengan menampilkan aksi 'magik' di mana kopi yang dihidangkan oleh Zach King kepada Sofyank bertukar menjadi kek dan papan tanda menu pula bertukar menjadi kain napkin yang digunakan semasa makan.

Di ruangan komen, Zach King turut memaklumkan peminatnya bahawa Sofyank adalah sahabatnya yang berasal dari Malaysia dan menyifatkan pemuda berusia 27 tahun itu sebagai pereka filem serta artis VFX yang luar biasa.

"Beliau baru-baru ini datang ke Los Angles untuk menyempurnakan cabaran membuat filem yang saya hoskan. Tiada spoiler, kamu patut ke saluran YT (YouTube) saya untuk melihatnya," katanya.

Baru-baru ini, Sofyank yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan telah mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dianjurkan oleh Zach King.

Kejayaan itu turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan pencapaian Sofyank sebagai sesuatu yang membanggakan negara dan harus diteruskan.

A post shared by Mohamad Sofian (@sofyank96)

#Sofyank #Zach King #Sofyank Zach King