Kerap menerima pertanyaan mengenai status keagamaan sejak beberapa tahun lagi, jurulatih kecergasan terkemuka Kevin Zahri akhirnya berkongsi latar belakang keluarganya.

Biarpun bapanya seorang beragama Islam, namun dia dibesarkan sebagai penganut agama Kristian sebagaimana mengikut ibunya yang berasal dari Jerman.

Bagaimanapun bapanya mula mendapat hidayah untuk mendalami agama Islam selepas berpindah ke Malaysia sekitar tahun 1991.

“Saya terima banyak soalan mengenai agama saya sejak beberapa tahun dan tak apa, sebab orang nak tahu kan. Saya membesar sebagai penganut agama Kristian.

“Nama saya bukan Kevin Zahri bin Abdul Ghaffar sekarang, tapi dulu, Kevin Nicholai Christopher Zahri. Bapa saya adalah muslim Melayu. Ibu saya pula Kristian dari Jerman.

“Ibu saya yang mengajar kami lebih tentang agama. Saya pergi ke gereja (tapi jarang-jarang), saya berdoa seperti Kristian, saya pernah sertai koir Krismas, saya baca buku seperti ‘Bible’ waktu kecil.

“Sampailah satu masa bila bapa dan saya berpindah ke Malaysia (1991 - saya berusia 12), dimana beliau pun dapat hidayah tentang keagamaan beliau sendiri dan tanggungjawab untuk memimpin anak-anak,” kongsi Kevin.

@kevinzahri

Life is a journey of discovery ❤️

♬ original sound - Kevin Zahri

Kevin menerusi video yang dikongsikan di TikTok turut mengakui bukan mudah untuk dirinya menerima agama Islam pada hari pertama mendapat bimbingan daripada ustaz.

“Ketika itu la bapa saya mula mendedahkan kami kepada agama Islam dengan bimbingan ustaz pelbagai tapi saya tak menerimanya pada hari yang pertama.

“Jadi ia mengambil masa untuk mempersoalkan agama A dan agama B dan mungkin dengan video berlainan saya akan jelaskan kepada anda perjalanan sebagai seorang mualaf.

“Tentang penghijrahan daripada agama Kristian kepada Islam. Tapi yeay, itulah latar belakang saya dari segi keagamaan. Bermula sebagai penganut Kristian dan sekarang saya adalah orang Muslim, Alhamdulillah,” katanya.