Selepas lebih empat bulan melancarkan lagu Reminisensi, kumpulan Insomniacks kini tampil dengan pembaharuan lagu tersebut dengan versi piano pula.

Dengan hanya menggunakan petikan piano, sudah tentu lagu ini mempunyai 'nafas' baru, lirik lagu ini juga sarat dengan makna yang mendalam.

Semestinya, kumpulan yang dianggotai Iqie, Wan Arif Iskandar, Danial Doodye dan Gavin Wong ini mahukan kepuasan dalam berkarya menerusi versi berbeza itu. Daripada pendekatan ini juga, ia membuka mata ramai bahawa terjemahan karya mereka ada warna-warninya.

Peminat setia kumpulan ini pastinya menyedari ini bukan kali pertama mereka hasilkan versi piano untuk lagu mereka kerana sebelum ini, mereka pernah tampil dengan versi piano untuk lagu hit mereka yang berjudul Pulang.

Jumlah tontonan video lirik Reminisensi di YouTube telah mencecah 1 juta tontonan, manakala versi piano pula telah mencecah lebih 30,000 tontonan selepas dilancarkan seminggu lalu.

Menurut vokalis Insomniacks, Iqie, dia akui trend menambah variasi dalam susunan muzik bukanlah asing dalam kalangan para pengkarya.

“Sudah menjadi tradisi buat band pop-punk untuk melakukan versi ‘stripped down’ terhadap lagu-lagu mereka. Berdasarkan pengamatan kami, ia benar-benar seronok apabila dinikmati oleh penyokong kami.

"Paling penting, semestinya kami sendiri seronok dan mendapat kepuasan dengan menghasilkan versi berbeza ini," katanya.

Tanpa mengubah secara drastik pada melodinya, Insomniacks juga mengakui penghasilan versi piano ini bukanlah sukar, bagaimanapun, mereka akui suntikan elemen emosi amatlah penting.

“Emosi yang kami tampilkan menerusi vokal tidak banyak berbeza pun dengan versi asalnya. Cuma, versi ini sedikit perlahan dan saya boleh cakap, keharmonian dalam permainan instrumen sebenarnya membuatkan versi itu lebih bermosi.

"Saya rasa, pencarian kod baru untuk dipadankan dengan emosi kami ada sedikit mencabar. Selain itu, prosesnya secara keseluruhan sangat menyeronokkan dan kami sangat gembira dalam studio," katanya lagi.

Reminisensi versi piano boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.