Video Muzik Penuh Sofistikated, Bihzhu Beri Nafas Baru Lagu Klasik Chendering! Nukilan Komposer Ulung Tanah Air…
02/03/2022 14:22 MYT
Menariknya, lagu tersebut telah dicipta oleh seorang komposer paling prolifik di Malaysia, Jimmy Boyle.
Untuk muzik video pula, ia diarahkan oleh Chris Lim dan penggambaran video ini telah dijalankan di dua lokasi berbeza serta mengambil masa selama dua hari.
Menceritakan mengenai lagu tersebut, Bihzhu berkata, Chendering telah diilham dan ditulis pada tahun 1943 dan ia telah menarik perhatiannya apabila pada 2016 apabila dia dijemput untuk mempersembahkan lagu tersebut oleh Penang House of Music.
“Saya masih ingat dengan jelas peristiwa tersebut. Pihak Penang House of Music telah menjemput saya untuk membuat persembahan bersama James Boyle, yang kebetulan merupakan anak kepada Jimmy Boyle.
“Malangnya, James tidak sempat untuk menemui bapanya kerana Jimmy Boyle telah meninggal dunia semasa James masih di dalam kandungan ibunya.
“Saya mendengar lagu Chendering untuk kali pertama ketika itu dan secara jujurnya, saya mengakui bahawa sebelum ini saya memang tidak mengenali Jimmy Boyle, walaupun kami sama-sama berasal dari Pulau Pinang.” katanya.
Tambahnya, dia telah meminta persetujuan daripada James untuk membenarkan kumpulan saya menyusun semula muzik Chendering untuk tujuan rakaman.
“Kumpulan saya (yang terdiri daripada Jude Macson Bensing, Nish Tham, Shakey Shakey dan Ryan Lee Bhaskaran) telah bekerja keras untuk memastikan agar gubahan yang dihasilkan sedap didengar dan bersesuaian dengan integritinya, dan kami telah menghantar produk akhir kepada James untuk didengari.
“Dia berpuas hati serta memberi sokongan penuh kepada kami. James juga ada memberitahu kami bahawa dia merasakan ini adalah cara yang betul untuk memperkenalkan gubahan indah bapanya kepada generasi baru,” kata Bihzhu.
Selain itu, menurut Bihzhu, untuk muzik video pula mereka terpaksa menunda penggambaran video sehingga setahun selain turut mengubah konsep beberapa kali disebabkan oleh kekangan akibat pandemik yang berlarutan.
“Idea asal adalah untuk membuat penggambaran di Pantai Chendering sempena tajuk lagu, tetapi ketika itu, risiko yang perlu ditanggung adalah terlalu tinggi.
“Oleh itu kami terpaksa membuat perancangan baru untuk memastikan elemen keselamatan dan sekuriti diutamakan.
“Saya amat berterima kasih kepada Chris Lim dan seluruh krew yang terbabit kerana mereka telah dapat menjayakan projek ini dan menghasilkan video yang amat cantik bersesuaian dengan lagu yang sangat istimewa ini,” katanya.
Muzik video serta mini dokumentari Chendering boleh ditonton di platform YouTube.
Anda boleh lihatnya di bawah