[VIDEO] Nana Sheme Bakal Nikah Produser Muzik Hujung Oktober - "Cinta Kami Berputik Masa Big Stage ..."
Shahrin Zulkifle
13/10/2022 12:00 MYT
13/10/2022 12:00 MYT
Penyanyi Nana Sheme, 27, mengumumkan akan menamatkan zaman bujang bersama pasangan pilihannya pada 22 Oktober ini.
Jelas Nana, dia dan pasangannya itu sudah pun mengikat tali pertunangan sejak Mei lalu, namun bertindak untuk merahsiakan hal berkenaan diatas sebab-sebab tertentu.
“Insyallah hujung bulan ini tanggal 22 Oktober saya akan menamatkan zaman bujang, tinggal beberapa hari sahaja lagi.
“Sebenarnya saya dah pun bertunang pada bulan Mei yang lalu iaitu pada hari ulang tahun kelahiran saya, cuma saya rahsiakan kisah pertunangan itu.
“Tujuan saya rahsiakan sebab tak nak hebahkan benda yang belum betul-betul confirm, tapi sekarang ini tinggal beberapa hari sahaja lagi saya dah bersedia untuk kongsikan,” jelas Nana ketika dihubungi Gempak.
Terdahulu pelantun lagu Hantu Atau Buaya itu memuat naik video dia mengenakan pakaian pengantin serba putih di Instagram miliknya sehingga menimbulkan pertanyaan dalam kalangan wargamaya.
Tambah pemilik nama penuh Nur Nabilah Hashimi, cintanya mula berputik ketika dia menyertai program nyanyian Big Stage musim ketiga.
Malah lelaki berkenaan adalah orang yang bertanggungjawab menjaganya sepanjang menyertai pertandingan tersebut.
“Bakal pasangan saya itu berasal dari Penang dan dia merupakan seorang muzik produser, orang industri juga tapi bukan artis la.
“Sebenarnya cinta mula berputik semasa saya sertai rancangan Big Stage, dia juga yang jaga saya masa pertandingan itu.
“Saya nampak kesungguhan dia untuk menjaga saya sebaik mungkin, sangat bertanggungjawab, itu yang buat saya yakin dengan dia,” tambahnya.
Dalam pada itu, Nana memaklumkan, majlis resepsi akan berlangsung di kediaman rumah ibu bapanya yang terletak di Kuching Sarawak.