Pelakon Sharnaaz Ahmad dilihat menghabiskan masa bersama anak lelakinya, Jebat Jaydean sebaik dibebaskan daripada tahanan reman tiga hari, semalam.

Menerusi potongan video hitam putih yang dikemas kininya, bapa berusia 30 tahun itu mendukung Jebat yang begitu manja dan selesa dalam pelukan Sharnaaz.

Malah dapat dilihat ada pada ketikanya, Sharnaaz kelihatan sedikit sebak sewaktu berpelukan dengan Jebat.

Dia kemudian menggambarkan perasaan dan keadaannya selepas terpaksa melalui episod kurang menyenangkan tersebut dengan menulis: “I’m okay, Insya Allah.”

Bersama tulisan yang sama, Sharnaaz juga menulis: “Baba sayang kamu (Jebat), sangat banyak.”

A post shared by Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ™ (@sharnaazahmad)


Perkongsian tersebut mendapat lebih 100 ribu tanda suka dengan ribuan komen yang mengandungi kata kata semangat buat anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Antara rakan artis yang dilihat memberi kata semangat dan mendoakan urusan Sharnaaz dipermudahkan adalah aktres senior Fauziah Nawi dan pelawak Jep Sepahtu.

Sementara itu, Sharnaaz menerusi perkongsian di Insta Storynya dilihat menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa polis yang telah menyantuni dirinya selama berada dalam tahanan reman di Balai Polis Sentul.

Dia juga meluahkan rasa sedih kerana perlu berpisah dengan mereka.

“Aku sedih berpisah dengan orang yang sentiasa mendidik dan menjaga aku di sana. Terima kasih tuan tuan,” luahnya.

Terdahulu media melaporkan seorang pelakon lelaki ditahan reman selepas disyaki menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut, di sini.

Suspek berusia pertengahan 30-an yang juga penghuni di kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa dalam kejadian pada jam 8.30 malam.

Sharnaaz yang dibebaskan semalam menafikan kepada media dirinya panas baran dan tidak bodoh untuk melakukan tindakan yang boleh memudaratkan diri serta keluarganya.