Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi individu pertama di Malaysia disuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech, lapor AWANI.

Ia sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.

Muhyiddin disuntik di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11 jam 2.42 petang oleh jurusuntik yang dilantik Kementerian Kesihatan, Lina Ibrahim yang juga merupakan Ketua Jururawat Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.

Ia disusuli Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Putrajaya turut menerima vaksin hari ini.

Mereka adalah Dr Tan Yee Ling, 30, (pegawai perubatan); Sheila Melissa Sikin, 31, (jururawat), Khairul Asraf Mohd Yasin, 44, (penolong pegawai perubatan) dan Clement Marai Francism 36, (pemandu).

Momen tersebut juga dikongsi menerusi posting terbaharu di akaun Instagram rasmi Astro AWANI.

A post shared by AstroAwani (@501awani)


Mereka sebelum itu diberi taklimat penerimaan vaksin dan menandatangani borang persetujuan serta kebenaran vaksin.

Kesemua penerima akan dipantau 30 minit selepas disuntik sebelum pelepasan diberikan kepada mereka.

Sumber: Astro AWANI