Perkongsian video yang dimuat naik pelakon Nad Zainal dan Ungku Ismail di Instagram masing-masing mengundang pelbagai pertanyaan dalam kalangan netizen.

Menerusi video pendek tersebut memperlihatkan pasangan yang memakai pakaian serba putih menaiki tangga sambil berpegangan tangan di kawasan yang kelihatan seperti sebuah masjid.

Pada perkongsian yang sama juga, Nad dan Ungku meletakkan kapsyen yang sama iaitu emoji bentuk ‘love’ dan tarikh 23.1.23 (23 Januari 2023).

Malah turut disertakan senarai kredit kepada pereka fesyen Seth & Luna, jurusolek terkenal Datuk Alha Alfa dan penata gaya Tym Fatimah selain turut mendapatkan khidmat jurugambar serta videographer Imrosependragon, Marewah dan Haikal Shuib.

Ruang komen di perkongsian itu sudah dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rakan selebriti seperti Ummi Nazeera dan Rozita Che Wan.

“Alhamdulillah, happy for you babe (gembira untuk awak),” komen Ummi Nazeera.

Biarpun ada yang keliru kerana beranggapan ia kemungkinan sekadar ‘marketing’ untuk drama namun ramai netizen tetap mengucapkan tahniah kepada pasangan itu.

“Real life ke drama ini… moga ini betul-betul. Tahniah!

“Kalau betul, Alhamdulillah.

“Alhamdulillah, tahniah buat Ungku dan kak Nanad, semoga bahagia berkekalan hingga ke jannah,” komen netizen.

Bagaimanapun usaha Gempak untuk mendapatkan kepastian daripada Ungku dan Nad gagal selepas pasangan itu tidak memberi respon kepada mesej yang ditanya di WhatsApp.

Terdahulu, Nad dimasukkan ke Hopsital Pakar KPJ Ampang Puteri, di sini, sejak 20 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Sepanjang pelakon drama Cina Buta itu di hospital, Ungku menjadi orang paling rapat yang berkongsi mengenai perkembangan aktres itu.

Malah, Ungku juga melancarkan tabung kecemasan bagi mengumpul sumbangan buat Nad bagi menampung kos rawatan sejak aktres itu dirawat di ICU.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

A post shared by NANAD (@nad.zainal)