Penyanyi Ramlah Ram mendedahkan yang perbuatan peminat menghantar mesej-mesej lucah kepada selebriti sudah tercetus sejak dia mula-mula melangkah masuk ke dunia hiburan sekitar tahun 80-an silam.

Ujar Ramlah, hal itu nampaknya berevolusi sehingga ke hari ini, dan mesej-mesej tidak elok itu masih lagi diterima di platform media sosial miliknya.

“Ketika saya mula-mula jadi penyanyi sekitar tahun 80-an lagi, memang dah ada benda-benda macam ni.

“Sekarang dengan media sosial apatah lagi… Biasanya kalau jenis suka bagi benda tak elok ni, dia ada masalah, sebab orang kan banyak penyakit sekarang.

“Kalau ikutkan, zaman guna surat dulu lagi teruk, macam-macam benda mereka hantar. Malu nak cerita!” katanya kepada Gempak.

Ramlah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 semalam.

Ditanya adakah Ramlah ingin menegur mereka yang sering menghantar mesej atau gambar lucah secara terbuka seperti beberapa artis lain, penyanyi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu berkata, dia enggan mengambil pusing mengenai perkara berkenaan.

Katanya, mereka yang tergamak untuk menghantar benda-benda tidak elok kepada golongan artis di media sosial hanya sekadar mahukan perhatian semata-mata.

“Sebenarnya, saya malas nak tegur-tegur. Memanglah saya tak buka DM yang dihantar oleh pengguna Instagram, tetapi kadang-kadang terlepas juga. Tapi saya tak hiraukan apa yang mereka hantar.

“Sebab makin dilayan makin menjadi. Sebenarnya mereka suka kalau kita beri perhatian kepada mereka. Jadi, baik kita diamkan sahaja,” katanya lagi.