[VIDEO] Rossa Sera Ulas Status Terkini Dengan Shuk Sahar, Terkilan Rumah RM1.2 Juta Dijual Tanpa Diberitahu
Shahrin Zulkifle
30/06/2022 04:00 MYT
30/06/2022 04:00 MYT
Hubungan antara pelawak Shuk Sahar dan isteri, Rossa Sera masih menjadi bualan hangat. Ramai yang tertanya-tanya dan keliru dengan status hubungan mereka sehingga kini.
Diminta mengulas status terkini rumah tangga mereka, kata Rossa Sera mereka sebenarnya masih dalam fasa perbincangan dan hanya akan bertemu atas urusan keluarga semata-mata.
"Saya dan Shuk kami masih dalam perbincangan oleh kedua-dua pihak, jadi saya tak boleh nak ulas lanjut. Namun yang pasti kami akan cari jalan yang terbaik untuk kami berdua.
"Anak-anak kerap sahaja berjumpa ayah mereka, cuma saya yang jarang sangat berjumpa.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan dia 7 atau 8 bulan yang lalu. Selain itu berkenaan urusan anak-anak kami akan berhubung melalui WhatsApp sahaja.
"Anak-anak memang selalu tanya pasal ayah dia dekat mana, macam sekarang Shuk bekerja di Penang, tapi setiap kali dia datang ke Kuala Lumpur pasti dia akan berjumpa anak-anak," ujarnya kepada Gempak.
Sera ditemui selepas siaran langsung program popular MeleTOP di Studio 1, Astro Bukit Jalil pada Selasa.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kediaman bernilai RM1.2 juta yang telah dijual oleh Shuk, Sera akui terkilan apabila dirinya tidak dimaklumkan tentang hal (penjualan rumah) terbabit.
"Sejujurnya berkenaan rumah itu, saya tidak tahu apa-apa dan tak berani untuk memberi komen.
"Sebabnya, sejak tahun lalu selepas saya keluar dari rumah itu saya langsung tidak pernah kembali semula ke rumah itu. Perasaan ni sangat sedih.
"Sejak saya keluar dari rumah itu, saya tidak sanggup untuk melihat rumah itu dan tidak pernah menjejakkan kaki lagi ke situ.
"Terlalu banyak kenangan bersama anak-anak di situ, kami juga pernah memasang impian bersama ketika tinggal di sana, terutamanya tentang anak-anak," kata Sera sebak.
Difahamkan Sera sebelum ini pernah memfailkan perceraian terhadap Shuk pada November 2021.
Sera dan Shuk telah berkahwin pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 5, dan Nur Assyifatu Aimi, 2.