[VIDEO] Sanggup Berhabis Duit, Anzalna Hadiahkan Rantai Berlian RM120,000 Untuk Ibu Tercinta - “Nak Menangis Tengok…”
Asyikin Mayudin
29/04/2023 06:50 MYT
29/04/2023 06:50 MYT
Pelakon Anzalna Nasir sanggup berhabis duit dengan menghadiahkan ibunya seuntai rantai berlian berharga lebih RM120,000 hanya untuk melihat insan tercintanya itu bahagia.
Menerusi perkongsian video di TikTok, Anzalna bersama keluarganya hadir di sebuah kedai emas terkemuka dan meluahkan hasrat mahu membeli rantai tersebut untuk ibu tersayang.
Difahamkan, rantai yang dibeli oleh Anzalna itu mempunyai campuran emas sebanyak lebih 50 gram dan set berlian pula lebih 12 karat.
Pada perkongsian video itu memperlihatkan ibu Anzalna kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata daripada mengalir ketika mengenakan rantai tersebut.
Rata-rata netizen turut sebak dengan cara Anzalna menghargai jasa ibunya yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang banyak demi membahagiakan hati insan tersayang.
“Nak menangis bila tengok akak belikan mak hadiah. Saya ini tak tahu bila dapat belikan mak saya.
“Sedihnya mengalir air mata saya. Bertuahnya Anzalna sempat membalas jasa mama yang bertarung nyawa melahirkan kita. Mama saya sudah pergi untuk selamanya.
“Murah rezeki Anzalna. Saya pun nak belikan mak emas tapi tak mampu lagi dari segi kewangan,” komen beberapa netizen.