Penyanyi baru, yang mula berjinak dalam mencipta nama di industri hiburan, Aini Mazalan kini tampil dengan single pertamanya berjudul Sementara. Lagu ini tentunya mempunyai keistimewaan dan kisah yang tersendiri untuk gadis berusia 25 tahun ini.

Manakan tidak, ketika menghasilkan lagu bergenre pop-balada ini, Aini berimaginasi ada seseorang yang hadir mengucapkan kata-kata untuk menenangkan dirinya.

Bukan itu sahaja, lagu ini juga boleh menyentuh hati para pendengar dengan maksudmaksud yang tersulam di sebalik liriknya.

"Lagu ini dicipta berdasarkan imaginasi saya. Kalau nak tahu, saya bayangkan ada seseorang yang datang ucapkan kata-kata yang menangkan hati saya sepertimana yang tertulis dalam lirik lagu ini ketika saya sedang sedih.

"Disebalik lagu ini juga, ada sedikit penceritaan di mana saya ingin kembali ke masa lalu dan melawat versi diri saya yang kecil untuk memberitahu bahawa semuanya akan baik-baik saja bila sudah menjengah dewasa nanti. Semua penderitaan saya semasa kecil hanyalah sementara," kata Aini membuka bicara.

Tak perlu rasa sendirian

Kata Aini lagi, lagu Sementara juga menyampaikan mesej bahawa seseorang tidak perlu rasa dirinya sendirian kerana selalunya ada insan yang akan menemani dan mengambil tahu tentang diri kita.

"Lagu ini sangat istimewa kerana mesejnya disampaikan untuk diri saya sendiri. Ia juga istimewa sebab saya cuba untuk sampaikan mesej kepada pendengar bahawa mereka tak bersendirian, kita sentiasa ada seseorang untuk diri kita," katanya.

Bercakap tentang cabaran ketika proses penggubahan lagu Sementara, Aini akui demo pertama single tersebut lebih berat kepada elemen genre Indie. Namun selepas itu, dengan bantuan barisan produsernya, mereka berjaya mengubah dan menjadikannya lebih sesuai dengan corak muzik di Malaysia.

"Cabaran yang saya lalui adalah sewaktu penggubahan lagu ini untuk disesuaikan dengan pasaran muzik Malaysia. Demo pertama lagu Sementara mempunyai elemen genre Indie, dan produser Mas Dewangga, Jova Devito dan juga Aiden King banyak membantu dalam menggubah lagu ini supaya menjadi lebih sesuai dengan muzik pop Malaysia.

"Demo pertama saya telah hasilkan pada tahun 2019. Kemudian dihantar kepada Mas Dewangga pada hujung tahun 2021. Pada April 2022, lagu Sementara siap sepenuhnya," jelasnya.

Rakam suara asing

Dalam pada itu, Aini berkongsi momen istimewa ketika merakam lagu Sementara. Menurutnya, dia berhubung secara maya bersama produser-produsernya untuk belajar teknik nyanyian yang sesuai menepati kehendak lagu tersebut.

"Momen istimewa adalah ketika saya berhubung menerusi saluran alam maya bersama Mas Dewangga, Jova Devito dan juga Aiden King. Mereka ajar saya secara online macam mana nak rakam suara asing menggunakan Garage Band untuk demo yang kedua," katanya.

Oleh yang demikian, Aini berharap agar lagu Sementara mendapat sambutan yang baik daripada para pendengar selain boleh mengaitkan penceritaan yang disampaikan dengan diri mereka.

"Saya berharap pendengar lagu Sementara dapat berhubung atau “relate to the song”. Mungkin pendengar boleh berkongsi perasaan ataupun kisah hidup sewaktu mendengar lagu ini.

"Saya juga berharap lagu ini dapat menemani setiap pendengar yang berasa sunyi atau berasa seperti tiada sesiapa disamping mereka," katanya lagi.