Penyanyi baharu yang juga artis pertama yang bernaung di bawah platform TikTok, Fatia tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Bait-Bait Rasa.

Jelas Fatia, dia akui teruja dengan single terbaharunya itu yang sedikit berlainan daripada genre yang sebelum ini pernah dibawakan selain tidak sabar menantikan reaksi daripada peminatnya.

Teruja Lagu Baharu

“Lagu ini sangat berbeza dari lagu pertama saya, ‘My World Too’. Bukan saja dari aspek melodi dan tema yang lebih lembut serta feminin, tetapi juga dari gaya vokal dan proses rakaman.

“Saya teruja menceburi genre muzik yang berlainan dan tidak sabar ingin melihat reaksi peminat setia saya. Saya juga berharap kreativiti ini akan menarik perhatian peminat baharu juga,” ujarnya.

Jatuh Cinta Saat Dengar Demo

Tambah Fatia lagi, saat pertama kali mendengar demo lagu ciptaan komposer popular Ezra Kong itu, sudah membuatnya jatuh cinta.

“Lirik lagu ini menangkap perhatian saya dengan serta-merta saat mendengar demo yang dikongsi oleh Ezra.

“Apatah lagi dalam hidup saya setakat ini saya tidak pernah jatuh cinta. Liriknya seperti ada maksud yang lebih mendalam.

“Mungkin, ia sebagai satu pengajaran buat saya apabila saya betul-betul menghadapi situasi itu nanti,” tambahnya.

Sisi Berbeza

Dalam pada itu, Fatia memaklumkan dia telah menampilkan sisi lainnya sebagai seorang penyanyi pada lagu tersebut selain menyerahkan jiwa sewaktu sesi rakaman.

“Lagu ini menunjukkan sisi saya yang berbeza. Saya telah memberikan jiwa saya dan membukanya dengan sepenuh hati demi pembikinan lagu ini.

“Saya harap pendengar akan memberi peluang kepada lagu ini dan jatuh cinta dengannya, sama seperti saya,” ujarnya lagi.

Lagu Bait-Bait Rasa kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music dan muzik video sudah diluncurkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia.