VIRAL
Video Suami Baca Doa Di Hadapan Jenazah Isteri Buat Netizen Sebak - “Ain Farhana Bertarung Nyawa Demi Anak”
Tular video di laman sosial memperlihatkan seorang suami yang membaca doa terakhir di hadapan jenazah isterinya yang meninggal dunia selepas melahirkan anak kedua mereka.
Komplikasi pendarahan otak
Video yang dimuat naik di Instagram Mr Wan Cai Official itu mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang turut terkesan dengan pemergiaan arwah Ain Farhana.
Suami arwah iaitu Khairul Azhar Jainal Abidin, 27 memberitahu isterinya meninggal dunia akibat komplikasi pendarahan di otak sejurus melahirkan anak kedua mereka di Hospital Shah Alam.
“Sebelum mengandung anak kedua, isteri saya pernah mengadu sakit kepala kerana migrain. Dia pernah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital tetapi tidak sempat untuk membuat imbasan tomografi berkomputer kerana disahkan mengandung.
“Selama sembilan bulan kandungan kedua ini, rekod perubatan isteri tiada masalah. Sepatutnya, dia bersalin pada 17 Julai ini tetapi pada hari Jumaat, 11 Julai, dia mengadu pening kepala. Keesokan hari, saya bawa dia ke klinik dan doktor hanya berikan rawatan biasa.
“Pada petang Sabtu, isteri mengadu sakit kepala sekali lagi dan tiba-tiba dia diserang sawan. Ambulans datang untuk membawa isteri ke hospital terdekat. Pegawai perubatan yang buat pemeriksaan pada isteri beritahu bahawa tekanan darah isteri tinggi waktu itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Khairul Azhar, disebabkan keadaan itu, doktor pakar meminta keizinan untuk membuat pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan bayi dan selepas sejam, anaknya selamat dilahirkan dan diletakkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal.
Menurutnya, isterinya pula kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi (HDU).
“Saya berjumpa isteri selepas itu dan berborak seperti biasa. Tekanan darahnya juga kembali normal,” katanya.
Alami eclampsia
Doktor memaklumkan Allahyarham Ain Farhana mengalami eclampsia dengan keputusan imbasan tomografi berkomputer menyatakan saluran darah di kepala isteri sudah bengkak.
"Doktor memberitahu Ain Farhana sepatutnya perlu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, tetapi dia telah mengalami serangan sawan susulan ketika di dalam wad.
"Walaupun doktor pakar telah menjalankan pembedahan bagi membuang darah di kepala namun keadaan masih kritikal.
“Isteri tidak sedarkan diri ketika itu. Doktor beritahu tindak balas anak mata tidak berapa bagus. Ketika itu saya terduduk dan merasakan adakah ini tanda-tanda isteri akan meninggalkan saya?
“Tiga kali doktor membuat imbasan tomografi berkomputer. Keadaan otak isteri sudah dipenuhi darah. Peluang untuk isteri sembuh memang nipis. Pada hari Rabu, doktor mahu membuat ujian untuk memastikan sama ada isteri mengalami kelumpuhan otak atau pun tidak.
“Setelah tiga hari doktor bertungkus-lumus cuba menyelamatkan nyawa isteri saya, akhirnya dia meninggal dunia pada Khamis malam selepas doktor menghentikan bantuan oksigen. Saya reda dengan ujian ini," ujarnya dengan nada sedih.
Allahyarham Ain Farhana meninggalkan dua orang cahaya mata iaitu Uthman Attaki, 2, dan bayi yang baru lahir, Helena Attiya