[VIDEO]: “Tak Terima Tindakan Aku Lakukan” - Ikmal Amry Kongsi Detik Cemas, Selamatkan Anak & Isteri Ketika Kemalangan
Mya Amri
06/09/2022 02:30 MYT
06/09/2022 02:30 MYT
Pelakon, Ikmal Amry meluahkan rasa kesal atas kemalangan jalan raya yang telah menimpa keluarganya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), baru-baru ini.
Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Ikmal memuat naik detik cemas ketika menyelamatkan isteri dan anaknya ketika itu.
“Pengalaman pahit yang memberi seribu makna dan pengajaran buat diri ini. Tidak akan aku lupakan setiap detik yang terjadi.
“Tidak akan aku terima atas tindakan yang aku lakukan mengakibat jiwa lain dalam bahaya.
“Syukur sekali lagi Allah bagi peluang untuk terus bernafas. Untuk aku berfikir dan sedar atas kekhilafan ini,” coretnya.
Tambahnya lagi, dia tidak akan dapat melupakan detik hitam yang berlaku ke atas diri dan keluarganya itu.
“Tak dapat aku bayangkan ketika detik tersebut berlaku, disaat isteri dan anakku ada bersama ku. Aku cuma fikirkan mereka dan yang terlibat selamat sahaja.
“Terima kasih buat insan-insan yang berhati mulia menolong aku di saat aku memerlukan tak kira bangsa.
“Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian semua. Sekali lagi maaf daripada insan yang penuh dengan dosa ini.
“Semoga kalian mengambil ikhtibar dan pengajaran atas perilaku yang telah aku lakukan. Aku hanya manusia yang tidak lari darii kesilapan. Kun fayakun! (jadi maka jadilah ia),” tulisnya.
Terdahulu, Ikmal atau nama penuhnya, Mohd Zulikmal Amry Ghazali terlibat dalam kemalangan jalan raya pada petang Sabtu.
Bagaimanapun, Ikmal melahirkan rasa syukur apabila dia sekeluarga tidak mengalami kecederaan yang teruk.