Video Tarik Seluar Dikecam, Watie Hanifiah Anggap Shuib Bergurau - “Ingatkan Benda Itu Kelakar…”
Asyikin Mayudin
18/03/2024 02:55 MYT
18/03/2024 02:55 MYT
Video memperlihatkan pelawak Shuib menarik seluar isterinya iaitu Watie Hanifiah sambil mengintai ke dalam mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kecam tindakannya itu.
BERITA TRENDING: Isu Mateen Buat Aksi Tak Senonoh Sampai Shuib Dikritik Netizen, Ini Respons Watie Hanifiah
Bagaimanapun Watie berkata Shuib sememangnya gemar membuat jenaka seperti itu namun tindakan tersebut dilakukan secara spontan tanpa mengikut skrip.
“Part tarik seluar itu, Shuib memang… itu tak ikut skrip. Dia buat secara spontan. Patutnya hanya cakap seluar dah besar saja, tak sangka benda itu (Shuib tarik seluar).
“Lagipun kami rakam sekali saja… dia pun selalu macam itu, suka buat lawak begitu. Benda dah post kan,” kata Watie kepada Gempak sambil ketawa.
Menganggap ia satu jenaka, Watie memberitahu dia tidak kisah dengan kecaman namun sentiasa mengambil secara positif teguran yang baik daripada netizen.
“Ingatkan benda itu kelakar… tapi mungkin bab intai itu la kot. Saya baca juga komen, tapi sebab dah biasa. Ada la teguran yang diberikan, kita ambil.
“Akan datang, kita tau dah ada bahagian yang tak boleh melampaui batas dalam bergurau. Selalunya, kalau berkenaan dengan kecaman, kami tak pernah berbincang atau borak.
“Dia macam ‘you baca, I baca’… tak ada nak komen kata ada orang kecam kita. Kami memang anggap benda itu gurau… yang rakam video itu pun Uwais sambil ketawa.
“Mungkin sebab Shuib dah biasa gurau begitu dengan Watie dan anak-anak. Bagi anak-anak pun benda itu biasa sebab mommy dan daddy suka bergurau begitu. ,” ujar Watie yang akan lebih berhati-hati lepas ini.