Laman Utama
[VIDEO] Terima Vaksin AstraZeneca, Diana Danielle Tak Rasa Sakit
Pelakon Diana Danielle, 30, melahirkan rasa syukur apabila sudah menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, hari ini.
Menurut Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata dia tidak berdepan sebarang kesakitan ketika proses mendapatkan suntikan.
"Alhamdulillah saya sudah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca. Saya tidak berdepan sebarang kesakitan dan semuanya berjalan lancar ketika proses suntikan dijalankan oleh pihak Qualitas Medical Group di PPV UKM.
"Terima kasih kepada Dr Junaidi dan pasukan serta semua petugas barisan hadapan. Semoga kita dapat melawan penularan Covid-19 ini," tulisnya.
Menerusi hantaran tersebut, Diana memuat naik rakaman video ketika mendapatkan suntikan di Instagram (IG).
Tambah pelakon filem Gol & Gincu Vol. 2, dia mungkin berhadapan dengan beberapa kesan ringan bagaimanapun tindak balas itu normal untuk penerima vaksin.
Dalam pada itu, isteri kepada aktor Farid Kamil berharap agar lebih ramai orang mendapatkan vaksin bagi melindungi diri daripada virus tersebut.
"Saya mungkin akan melalui beberapa kesan ringan seperti pening kepala, keletihan dan demam tapi kesan terbabit menunjukkan sistem imunisasi saya sedang bertindak balas terhadap vaksin terbabit untuk membina ketahanan terhadap virus itu.
"Insya-Allah semuanya akan berada dalam keadaan baik dalam waktu terdekat ini. Jika anda berpeluang mendapatkan slot vaksin, saya harap anda mengambilnya. Sama-sama kita lindungi diri, keluarga dan masyarakat kita," tulisnya lagi.
Sebelum ini, ada beberapa selebriti lain yang sudah selesai menerima vaksin antaranya Kavita Sidhu, Elfira Loy, Datuk A. Aida, Haziq Hussni dan Hafizul Kamal.