[VIDEO] “Tiada Yang Lebih Menyayatkan Hati Selain Anak Ummi Ini Disakiti” – Neelofa Akhirnya Dedah Wajah Bilal
Shahrin Zulkifle
12/10/2022 13:55 MYT
12/10/2022 13:55 MYT
Pengacara dan usahawan popular, Neelofa akhirnya mendedahkan wajah anaknya Muhammad Bilal selepas hampir sepuluh bulan ‘menyembunyikan’ wajah bayi itu.
Menerusi hantaran terkini di Instagram, Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Nor berkongsi beberapa foto wajah anaknya yang digabungkan menjadikan sebuah video.
Malah, usahawan berusia 33 tahun itu turut meninggalkan coretan buat anaknya yang tercinta.
“Cinta dan sayang pada anakku Bilal. Antara kecintaan tertinggi dan teragung ummi (Neelofa) di dalam hidup ini.
“Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cinta kan anak mereka apatah lagi sewaktu mereka kecil.
“Bilal anak ummi sayang. Allah zahirkan kamu dalam hidup ummi dan abah begitu sempurna. Jika kekayaan yang nak dibangdingkan maka kaulah yang paling berharga buat ummi dan abah,” kongsinya.
Tambah Neelofa yang juga isteri kepada pendakwah Haris Ismail, dia menyifatkan kehadiran Bilal sebagai kurnian yang amat bermakna dalam hidupnya dan suami.
“Jika keselesaan yang ditaruhkan, tiada taruhan yang dapat dibandingkan dengan senyumanmu.
“Sungguh ini adalah hadiah yang Allah kurniakan dalam hidup ummi menjadi penyejuk mataku.
“Syukur yang tiada penghujung padaMu ya AllahUmmi doakan Bilal menjadi asbab agama tersebar seluruh alam
“Terima kasih wahai Allah Yang Menzahirkan anak ini kepada kami. Semoga Afiyyah sentiasa untuknnya,” tambahnya.
Terdahulu, Neelofa meluahkan rasa terkilan dengan tindakan netizen yang menyebarkan wajah anaknya di platform TikTok baru-baru ini.
Untuk info, Neelofa dan Haris telah mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Muhammad Bilal pada 29 Januari lalu.