Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

[VIDEO] "Toksik! Ia Cerita Lelaki Suka Mainkan Hati Wanita" - Aziz Harun

Amri Hassan
17/09/2022 13:22 MYT
Perjalanan karier seni jejaka dari Brunei, Aziz Harun terus cemerlang apabila tampil dengan single baharu berjudul Hanya Mahukan Bye ciptaan komposer terkenal, Romeo, Mike Chan dan Faizal Tahir di bawah label Faithful Music.

Lapan tahun berkecimpung dalam dunia seni, Aziz berjaya membuktikan kehadirannya masih utuh dan diterima baik oleh pendengar muzik di Brunei dan Malaysia yang menjadi penyokong utama setiap karya yang diketengahkan.

Kali ini, jejaka tampan berusia 24 tahun itu mempertaruhkan buah tangan baharu yang cukup unik serta mempamerkan transisi Aziz yang semakin matang dalam dunia nyanyian.

"Hanya Mahukan Bye adalah lagu pertama saya yang berbeza secara total daripada segi genre, konsep dan segala-galanya. Walaupun pada peringkat permulaan lagu ini ditulis mengikut kemampuan dan genre yang biasa saya bawakan seperti elemen akustik, piano dan gitar, tapi saya fikir sudah tiba masanya untuk saya keluar daripada zon selesa.

A post shared by Aziz Harun // ??‍♂️ (@azizharun212)


"Jadi Mike Chan tampilkan dengan konsep muzik elektronik dan saya begitu terkejut apabila mendengarnya. Namun selepas beberapa hari saya mendengar susunan lagu ini ternyata lagu ini sangat istimewa sebab ada muzik elektronik yang saya sendiri tak pernah teroka dalam mana-mana lagu nyanyian saya.

"Malah menerusi lagu ini tiada langsung bunyi gitar atau piano yang sebati dalam setiap lagu-lagu saya. Malah mesej Hanya Mahukan Bye juga sangat berbeza dan boleh dikatakan agak toksik apabila menceritakan kisah lelaki yang tidak mahu berubah, suka mempermainkan hati wanita sehingga termakan dengan kata-kata pujian yang diungkapkan.

Cerita lelaki suka mainkan hati wanita

"Kemudian lelaki itu meninggalkan wanita terbabit dengan menyalahkan wanita yang disifatkan sebagai bodoh kerana mudah percaya dengan segala tipu helah kerana begitu mudah percaya dengan lelaki,"katanya.

Selain menyifatkan lagu Hanya Mahukan Bye sebagai karya yang 'dark' dan matang, Aziz juga mengaku berdepan kesukaran sewaktu menjalani proses rakaman.

"'Key' lagu ini sangat tinggi untuk saya bawa dan muzik elektronik ini kena ada kelainan. Kalau saya menyanyi mengikut 'key' yang saya selesa mungkin penghayatannya tidak sampai kepada jiwa pendengar.

"Saya anggap lagu ini adalah proses eksperimen untuk saya tonjolkan sisi kematangan sebagai penyanyi. Walaupun lagu ini tidak mudah untuk dibawakan, tapi demi beri kelainan kepada peminat saya cuba rakamkan lagu ini dengan sehabis baik,"katanya.

Kerja dengan Faizal Tahir, Mike Chan

Bagi Aziz, peluang bekerjasama dengan Mike Chan dan Faizal Tahir merupakan pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan dan tidak sabar untuk mendengar maklum balas pendengar.

"Saya amat berterima kasih kepada dua insan hebat ini. Walaupun kami pernah bekerjasama dan merakamkan beberapa buah lagu tapi Hanya Mahukan Bye adalah karya yang sangat berbeza pernah mereka hasilkan.

"Tak sabar nak lihat penerimaan pendengar terhadap lagu ini. Jujurnya saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi, sebaliknya saya sekadar nak cuba sesuatu yang baharu dan keluar daripada zon selesa. Kalau dengar lagu-lagu saya seperti Jangan, Senyum dan Kan semuanya ada elemen gitar tapi kali ini pendengar akan melihat sisi saya yang berbeza," katanya.

Aziz Harun tak sangka masih bertahan

Biarpun memiliki pengaruh luar biasa dan lagu-lagu nyanyiannya meraih jutaan tontonan di YouTube, Aziz mengaku masih memiliki impian besar ingin dicapai.

"Perjalanan selama lapan tahun ini masih baru dan tak sangka sejak kemunculan saya pada tahun 2014 menerusi lagu Senyum saya masih dapat bertahan sehingga ke hari ini.

"Sebenarnya ada banyak lagi karya baru yang ingin saya teroka dan berikan kepada peminat. Saya juga gembira apabila melihat industri nyanyian di Malaysia semakin berkembang dengan kehadiran pendatang baharu.

"Saya percaya sekarang adalah waktu terbaik untuk saya terbit dan tulis lebih banyak lagu baru. Saya juga berharap dapat menembusi pasaran luar selain di Malaysia. Saya nak cuba tembusi pasaran Indonesia dan antarabangsa.

"Bagi saya dunia sekarang sudah semakin kecil, lebih-lebih lagi dengan kehadiran media sosial serta platform digital yang semakin membangun. Ramai penyanyi sekarang mudah mendapat peluang untuk memperkenalkan karya mereka di serata dunia dengan pantas.

"Misalnya penyanyi dari Indonesia, Pamungkas yang juga idola saya berjaya menembusi pasaran Filipina ketika ini. Jadi saya juga punya impian dan misi untuk kembangkan karier saya supaya muzik saya dapat didengari di serata dunia,"katanya.

Hanya Mahukan Bye sudah boleh didengarkan di semua platform digital bermula 12 September manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Faithful.



#Faizal Tahir #Lagu #Brunei #Aziz Harun #Mike Chan #Toksik #Hanya Mahukan Bye
;