Penyanyi baharu, Aiden Daniel tidak menganggap usia 30 tahun sudah terlambat untuk bergelar artis apatah lagi digelar 'budak baru nak up' (BBNU).

Kata Aiden atau nama sebenarnya Muhammad Amirul Abdul Rahim, yang juga anak didik komposer, Zul 2By2 sebagai bakat baharu gelaran BBNU itu relevan kepadanya yang baru bermula dalam muzik perdana dan masih 'hijau'.

"Saya menyanyi kerana minat dan dah 'start' sejak kanak-kanak lagi dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke. Cuma, baru sekarang saya dapat rezeki untuk jadi penyanyi rakaman yang ada single sendiri.

"Jadi, saya tak kisah pun kalau dipanggil penyanyi BBNU walaupun usia macam dah tak sesuai. Bagi saya, ia (usia) hanya angka dan syukur Alhamdulillah, yang pasti rezeki saya jadi penyanyi secara serius sudah tiba," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Sampai Masa di ibu kota, baru-baru ini.

A post shared by Aiden Daniel (@aiden_daniel27)


Aiden yang bekerja dengan produksi Timur Empayar Management, turut berterima kasih dengan Zul 2By2 dan isteri, Intan Maya kerana sudi memberikan kepercayaan kepada pendatang seni suara baharu sepertinya untuk menyanyikan lagu Sampai Masa ciptaan mereka.

"Pertemuan dengan Abang Zul buka jalan untuk saya masuk dalam industri muzik komersial. Saya akan cuba apa yang mampu sebab memang minat menyanyi sejak dulu lagi.

"Saya juga percaya dengan rezeki. Soal cepat atau lambat, ia sudah disusun cantik olehNya. Tinggal lagi kita yang perlu usaha," katanya yang baru mendirikan rumah tangga bulan lalu.

Single bergenre balada itu mengisahkan perhubungan pasangan kekasih yang dikhianati.

Ditanya juga mengenai jumlah pengikut media sosialnya yang masih sedikit, Aiden mengakui perkara itu dan bertekad cuba menarik perhatian ramai dengan berkongsi aktivitinya membuat 'cover' lagu.

Aiden juga bertuah kerana isterinya turut memberi sokongan penuh terhadap kerjayanya ketika ini. Namun Aiden memilih untuk tidak melakukan gimik ‘bukan-bukan’ demi status dan nama baik.

“Ada juga terfikir nak viralkan diri, tapi kalau boleh biarlah dengan cara yang betul. Tak mahulah hanya sekejap saja, buat apa. Lebih elok kita cipta nama secara perlahan-lahan untuk terus kekal berada dalam industri.

“Samalah juga kalau berdepan dengan peminat, kita kenalah profesional. Isteri pun okay dia memahami minat saya. Alhamdulillah setakat ini baik-baik sahaja,” katanya lagi.

Foto: Harian Metro