Biarpun sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 sudah berlangsung sejak seminggu lalu, namun kisah Abang Bomba yang tular kerana menayangkan otot sewaktu sambutan itu masih menjadi bualan ramai hingga hari ini.

Malah video mereka dengan aksi ‘belanja’ bicep di atas jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah membuatkan ramai gadis melting saat melihatnya.

Gempak turut berpeluang menemubual salah seorang Abang Bomba yang tular sewaktu perarakan sambutan kemerdekaan minggu lalu iaitu Saif Ahmad.

Saif yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Puchong berkata, dia tidak menyangka kejadian tersebut menjadi tumpuan ramai terutama pengguna di media sosial.

“Alhamdulillah, tidak dinafikan pengikut di Instagram saya telah bertambah sebanyak 13 ribu daripada yang sebelumnya.

“Saya betul-betul tidak menyangka akan viral satu Malaysia, bagaimanapun saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada sambutan hari merdeka pada 31 Ogos lalu.

“Kepada yang berkongsi aksi kami di media sosial, terima kasih juga saya ucapkan, rakyat Malaysia memang sporting,” katanya.

Saif ditemui ketika menjadi tetamu program MeleTop yang bersiaran secara langsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil dan disiarkan menerusi saluran 104 (Astro Ria).

Selain Saif, beberapa lagi anggota bomba yang bertugas di balai yang sama turut hadir sebagai tetamu pada program tersebut.