Penyanyi kelahiran Sarawak yang menempa nama di Hollywood, Zee Avi menyuarakan kekesalannya terhadap segelintir pihak yang bertindak melanggar hak cipta lagunya.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang tidak mendapat keizinannya itu berlaku lebih daripada sekali kata Zee Avi.

"Dah jumpa. Umm korang, cuma nak bagitahu apabila membuat sesuatu seperti ini, kamu perlukan keizinan.

"Tak kiralah kamu tukar lirik, ia hak intelek seseorang. Woi. Jadi, siapa sebenarnya individu di sebalik video ini. Ia bukan kali pertama," luah Zee Avi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kantoi itu meminta pihak tertentu agar lebih bertanggungjawab terhadap perkara sebegini.

Biarpun mesej dan usaha yang ingin disampaikan itu positif, situasi tersebut membuatkan Zee Avi bertambah jelik.

"Kamu tahu tak, perkara sebegini tak boleh suka-suka okey? Saya ada label dan penerbit sebelum ini untuk melalui perkara seperti ini!

"Tolonglah berilmu sedikit apabila membuat sesuatu seperti ini.

"Seperti yang saya katakan, ini bukan kali pertama Malaysia melakukan perkara ini. Sebelum ini ada dua jenama besar buat benda sama.

"Mereka ambil lagu, tukar lirik, atau guna sahaja instrumental, tanpa kredit pun. Ini bukan cara kita menyokong industri muzik," tambahnya.

Zee Avi turut memuat naik sepotong video pesanan menjaga kesihatan yang diubah liriknya namun mengambil melodi lagu Bitter Heart.

Pada hujung video terbabit tertera logo yang difahamkan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Malah, ada dalam kalangan pengguna Twitter yang memetik nama kementerian itu dalam ruangan komen video yang dimuat naik sejak Selasa itu.