Baru-baru ini, filem aksi komedi terhebat Polis Evo 3 ditayangkan secara khas untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menerusi video yang dikongsikan di Instagram Astro Shaw, teraju utama filem iaitu Zizan Razak meluahkan rasa gembira melihat reaksi penonton dan YB selepas menonton Polis Evo 3.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana, saya sangat happy, lepas saya keluar wayang, tanya reaksi mereka, sangat enjoy, terutama masa tayangan khas untuk PDRM dan YB Fahmi.

“YB walaupun sangat sibuk, tapi sanggup datang dan beliau sangat enjoy dengan Polis Evo 3. Ini membuatkan saya rasa sangat berbangga dan berbaloi dengan kerja saya sebelum ini,” kata Zizan.

Pada perkongsian yang sama, Fahmi Fadzil turut memberitahu filem arahan pengarah Syafiq Yusof itu juga mempunyai elemen lucu dan gementar menjadikan ia sangat menarik untuk ditonton.

“Kelakar pun ada, gementar pun ada, saya suka tengok filem… bila saya menonton filem ini memang best,” kata Fahmi.

Salah seorang penonton ketika tayangan khas itu juga berkata filem aksi komedi terhebat tersebut sangat sesuai untuk ditonton memandangkan jalan ceritanya dekat dengan kehidupan sebenar.

“Kita rasa movie ini sangat dekat dengan kita sebab dia memaparkan perjalanan, komitmen, kerja dan keluarga,” komen salah seorang penonton.

Filem aksi komedi arahan Syafiq Yusof itu terus mengekalkan pemeran utama iaitu Zizan Razak yang membawakan watak Inspektor Sani dan Shaheizy Sam yang membawa watak Inspektor Khai.

Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi yang lebih besar dan mencabar! #JagaJagaBoh.

Selain Zizan dan Sam, filem itu turut dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Farah Ali Khan, Nora Danish, Eyka Farhana, Fezrul Khan dan ramai lagi.

Bahang Polis Evo 3 kian terasa apatah lagi lagu runut bunyi (OST) berjudul Ayuh yang dinyanyikan oleh Malique, Ernie Zakri dan penyanyi rap Aman Ra serta Kmy Kmo menjadi siulan.

Nantikan filem Polis Evo 3 di pawagam seluruh Malaysia pada 25 Mei ini.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)