Spekulasi perseteruan di antara dua bintang ternama dari siri Fast & Furious, Vin Diesel dan Dwayne Johnson terlihat semakin ‘jelas’.

Hal ini lantaran Johnson tanpa berselindung mengaku menolak pelawaan Diesel yang mahu dia kembali bergabung dalam saga Fast & Furious yang ke 10.

Pada November lalu, Diesel menghantar ‘lamaran’ kepada Johnson di Instagram untuk kembali menggalas peranannya sebagai agen rahsia, Lucas Hobbs untuk saga akan datang.

“Dunia menanti anda di finale Fast 10,” tulis Diesel.

Dia kemudian dilihat menambah: “Seperti anda ketahui, anak anak saya memanggil anda sebagai Pakcik Dwayne. Legasi menanti.

“Saya ada beritahu beberapa tahun lalu bahawa saya akan memenuhi janji kepada Pablo. Saya bersumpah dunia akan melihat manifesto terbaik Fast dalam finale ke 10nya!”

Menyambut ‘lamaran’ tersebut, Johnson tanpa berselindung mengaku tidak berminat untuk bersatu dalam saga tersebut.

“Saya tetap dengan pendirian untuk terus menyokong semua yang terlibat dalam saga ini.

“Saya juga mendoakan agar saga ini berjaya. Tapi jangan harap saya akan kembali bergabung,” kata Johnson seperti dilaporkan CNN.

Johnson juga menyifatkan ‘lamaran’ yang dibuat Diesel kepadanya dengan memuat naik kisah termasuk tentang kematian rakan mereka, Paul Walker adalah sebuah manipulasi.

“Kemas kini terbaharu Diesel adalah sebuah contoh manipulasi. Saya tak suka dia mengimbau kisah lampau, termasuk mengenai kematian Walker.

“Jangan ganggu mereka. Kami telah berbincang mengenainya beberapa bulan lalu dan mencapai persetujuan,” dedahnya lagi.

Biarpun menolak lamaran kembali ke naskhah fenomena tersebut, Johnson tetap berharap Fast 10 akan memberi impak yang mengesankan kepada seluruh peminat mereka.

“Impian saya adalah untuk mengakhiri perjalanan yang luar biasa menerusi saga ini dengan bermaruah.

“Saya betul betul mendoakan yang terbaik buat semua yang terbabit dan yakin filem ini akan sukses,” tambahnya lagi.

Johnson pertama kali bergabung dengan Fast & Furious menerusi Fast Five pada tahun 2011.

Watak Agen Hobbs pada mulanya merupakan karakter antagonis kepada Dominic Toretto yang dimainkan Diesel.

Dia meninggalkan saga ini pada tahun 2017 selepas membintangi The Fate of The Furious.

Kredit Foto: Universal