Sebuah video 30 peserta Miss Thailand terjatuh dari jambatan terputus talinya kini menjadi viral di media sosial.

Menerusi laporan New York Post, insiden tersebut berlaku di sebuah restoran, semalam.

Kesemua peserta Miss Thailand pada waktu itu sedang melakukan salah satu rutin dalam pertandingan yang memasuki hari kedua itu di Chiang Mai, Thailand.

Malangnya, saat memberikan senyuman dan rancak berposing, tali jambatan di dalam restoran itu putus, lantas menyebabkan mereka semua terhumban dan jatuh ke dalam kolam yang berada di bawahnya.

Insiden tak terduga itu membuatkan tiga peserta cedera dengan yang lainnya mengalami luka luka termasuk pada bahagian kepala, tangan dan kaki. Mereka dilarikan ke hospital pasca insiden tersebut berlaku.

Sementara itu, pemilik restoran tersebut, Worapot Chatkanjana, 43, mengaku malu dan akan bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku.



Dia mengaku, jambatan tersebut kukuh, namun oleh kerana tidak dapat menampung beban 30 orang sekali gus berdiri di atasnya, maka tali jambatan tersebut putus.

Dengan itu, dia memutuskan untuk membiayai kos rawatan dan dobi mencuci pakaian yang dikenakan para peserta pada waktu itu.

"Jambatan ini kukuh. Saya tidak pasti bagaimana ia boleh runtuh. Saya akan pastikan kejadian ini tidak berlaku lagi," kata Worapot.