Kecoh sejak semalam mengenai sebuah video pertengkaran membabitkan seorang wanita muda dan lelaki lewat usia.

Video berkenaan mencuri tumpuan ramai apabila ia bukan saja membabitkan ‘perang’ mulut, namun turut melibatkan serangan fizikal.

Terbaru, Polis dikatakan sudah mengambil keterangan pihak yang terbabit dalam pertengkaran idi sebuah kedai makan di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan Perak.

Menerusi Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, wanita itu membuat laporan akibat perselisihan faham dengan seorang lelaki berusia 56 tahun.

Lelaki itu juga merupakan penyelianya di sebuah syarikat pengawal keselamatan.

"Punca kejadian dipercayai akibat tidak berpuas hati berkaitan cuti.

“Polis sudah memanggil kedua-dua pihak untuk diambil keterangan.

"Kedua-dua pihak itu bersetuju menyelesaikan kes secara baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menerusi pemantauan Gempak di Twitter, ramai mengecam tindakan wanita tersebut yang seakan tidak menghormati individu yang lebih tua daripadanya.

Walaubagaimanapun, ada juga yang memilih untuk mempertahankan wanita itu memandangkan lelaki berusia tersebut terlebih dahulu menjerit ke arahnya.