HIBURAN

Viviana Lin, Wanita Iban Pertama Dinobatkan Sebagai Miss Grand Malaysia 2025

Ainun Md Zooki 01/08/2025 | 16:55 MYT
Anak kelahiran Kuching, Sarawak, Viviana Lin Winston telah dinobatkan sebagai Miss Grand Malaysia (MGM) 2025 pada malam kemuncak pertandingan ratu cantik itu yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen HGH, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Viviana atau lebih mesra disapa Vivi, memukau barisan juri menerusi keanggunan, keyakinan dan daya inteleknya, sekali gus melayakkan dirinya merangkul gelaran tersebut.

Vivi juga turut membawa pulang hadiah wang tunai, barangan kemas serta pelbagai pakej eksklusif sebagai sebahagian daripada kemenangan berprestij itu.

Lebih menarik lagi, kejayaan gadis yang baru sahaja Beresia 25 tahun itu telah berjaya mencipta sejarah apabila dia menjadi wanita berketurunan Iban pertama yang berjaya merangkul gelaran Miss Grand Malaysia.

“Pencapaian ini bukan sekadar kemenangan di pentas ratu cantik, tetapi juga peluang untuk meraikan kepelbagaian budaya serta membuktikan bahawa keunikan masyarakat Iban juga layak diangkat ke peringkat tertinggi,” katanya kepada Gempak.


Tambahnya lagi, dia turut berharap agar kejayaannya dapat menyuntik inspirasi kepada anak muda yang mempunyai pelbagai latar belakang dan tidak takut untuk beranikan diri.

“Saya harap kejayaan ini beri inspirasi kepada anak muda untuk yakin dengan diri mereka dan terus mencuba, tak kira dari mana asal-usul mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, Viviana meluahkan rasa terharu dengan sokongan luar biasa yang diterimanya, terutama daripada peminat di negeri kelahirannya.

“Memang saya sangat bangga kerana hari ini, lebih 300 penyokong dari Sarawak hadir untuk beri sokongan kepada saya. Itu satu penghormatan besar buat saya,” kongsinya.


Sedar akan tanggungjawab besar yang bakal dipukulnya nanti di pentas antarabangsa, Vivi tekad untuk meneruskan legasi yang pernah diciptakan oleh wakil-wakil terdahulu.

“Selepas ini, saya ingin fokus untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman supaya dapat membawa nama Malaysia lebih jauh di pentas dunia.

“Saya yakin, impian untuk menjulang mahkota emas pertama bukanlah sesuatu yang mustahil jika disertai dengan latihan berterusan, bimbingan yang betul dan kerja berpasukan,” katanya.

Dengan kemenangan ini, Viviana secara rasmi akan mewakili Malaysia ke pentas Miss Grand International (MGI) 2025 yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand, pada Oktober depan.

Sekadar info, di tempat kedua dimenangi oleh peserta dari Negeri Sembilan, Dr. Nisha Thayananthan, manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Sabah, Rochil Sagarino.

#wanita #Iban #Miss Grand Malaysia 2025 #Viviana Lin