Laman Utama
Vivy Yusof Kongsi Rezeki Dengan Anak-Anak Yatim, Belikan Mainan & Belanja Makan
Pada bulan Ramadan, seluruh umat Islam berlumba-lumba mengerjakan ibadah bagi mengumpul ganjaran pahala.
Usahawan dan pengasas Fashion Valet, Datin Vivy Yusof juga tidak ketinggalan apabila meraikan anak-anak yatim dengan membeli pelbagai jenis permainan di sebuah kedai mainan terkemuka.
Menurut Vivy, perancangan asal dia dan suami, Datuk Fadza Anuar adalah untuk membawa mereka ke kedai supaya dapat memilih sendiri permainan yang diidamkan.
Bagaimanapun, pemilik nama Vivy Sofinas Yusof dimaklumkan anak-anak itu terpaksa dikuarantin kerana pelawat yang hadir sebelum ini merupakan pesakit Covid-19.
"Jadi minggu ini saya telah merancang satu plan yang luar biasa. Saya dan Fadza akan membawa semua anak-anak dari rumah anak yatim ke Toysrus dan membelikan mereka mainan, dan kemudian pergi berbuka puasa. Kami diberitahu yang anak-anak begitu bersemangat dan tidak sabar.
"Kemudian kami mendapat berita bahawa pelawat yang mengunjunginya adalah pesakit Covid dan kerana itu, anak-anak harus dikuarantin. Tidak boleh keluar dan tidak dapat berjumpa sesiapa. Itu bukan salah mereka.
"Kami terpaksa membatalkan plan kami. Jadi, kami menghantar makanan pada mereka. Saya pergi ke Toysrus untuk mendapatkan sendiri mainan itu! Mereka telah memilih sendiri mainan dalam atas talian jadi saya hanya pergi mengambilnya," tulisnya di Instagram Stories.
Menerusi hantaran yang dikongsikan, Vivy membelikan skuter, kereta, basikal, bubbles, vakum, papan gelongsor dan banyak lagi.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini berharap agar anak-anak kecil itu gembira dengan hadiah yang dibelikan.
"Semoga anak-anak akan menyukai semua ini! Walaupun saya tidak dapat berjumpa dengan mereka, melihat senyuman melalui foto sudah cukup bagi saya," tulisnya lagi.
Terdahulu, Vivy dan Fadza mendirikan rumah tangga pada tahun 2012. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Daniel Azim Shah, 8, Mariam Iman Shah, 6, dan Sarah Ilham Shah, 3.